PH mewarisi kegagalan kerajaan terdahulu - Utusan Malaysia

PH mewarisi kegagalan kerajaan terdahulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Mei – Malaysia di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bukan sebuah negara yang gagal, sebaliknya sekadar mewarisi beberapa kegagalan yang diakibatkan oleh rejim pemerintahan terdahulu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, namun, itu tidak menggagalkan usaha PH sepenuhnya untuk menjadikan negara ini kembali di landasan pembangunan yang mapan.

Katanya, PH juga akan turut mewarisi sebuah sistem kleptokrasi yang telah merencatkan pentadbiran, fiskal, kewangan dan sistem kehakiman Malaysia, jika tidak melumpuhkannya sepenuhnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berikut merupakan kenyataan penuh Rais Hussin;

“Negara gagal, atau kerajaan gagal, wujud apabila semua tidak berjalan seperti yang direncanakan terutamanya kedaulatan undang-undang atau Rule of Law.

Rule of law, menurut Thomas Hobbes, ahli teori politik klasik, hanya boleh dikuatkuasakan oleh Leviathan, atau ‘sebuah negara’.

Terdapat juga pemikir yang lain, seperti John Stuart Mill dan Jacques Rosseau, yang mengatakan bahawa dengan atau tanpa sebuah negara menguatkuasakan rule of law, kontrak sosial bersama rakyat memadai untuk mengekalkan perpaduan secara kolektif di dalam sesebuah masyarakat.

Sebagai bekas koloni Empayar British, Malaysia masih mengamalkan sistem perundangan Inggeris. Di bawah sistem itu, undang-undang yang dibentuk atau dibuat berdasarkan model yang sebelumnya, walaupun tiada perlembagaan seperti di United Kingdom.

PH telah mewarisi yang terbaik daripada kesemua ciri di atas pada 9 Mei 2018. Namun, kita juga perlu ingat bahawa PH juga turut mewarisi sebuah sistem kleptokrasi yang telah merencatkan pentadbiran, fiskal, kewangan dan sistem kehakiman Malaysia, jika tidak melumpuhkannya sepenuhnya.

Pada Julai 2015, sejurus selepas laporan daripada Jabatan Keadilan Amerika Syarikat dikeluarkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hampir-hampir sahaja dicekup mengikut peruntukan undang-undang. Namun, beberapa pegawai di Malaysia yang sedang menyiasat kes tersebut pula didakwa di bawah Akta 124.

Akta tersebut boleh menahan dan menangkap sesiapa sahaja, penjara sehingga 20 tahun atau lebih dengan alasan kononnya mencabar kerajaan yang dipilih secara demokrasi. Sekiranya Najib dan Barisan Nasional (BN) menang pada 9 Mei tahun lalu, badan perundangan dan polis akan menyaksikan kekejaman paling teruk pernah berlaku.

Ramai pemberi maklumat, termasuk Ketua Polis Negara sekarang, Datuk Seri Abdul Hamid Bador antara yang akan ditahan kerana cubaan untuk meruntuhkan kerajaan pada masa itu.

Saya juga tidak terlepas. Saya ditangkap, ditahan, disoal siasat, dan dilepaskan dengan jaminan polis kerana memberi ciapan di media sosial mengenai 1 Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Undang-undang terhadap berita tidak benar yang telah diluluskan oleh Najib dan BN, digunakan untuk menentang pemberita-pemberita tempatan dan asing di Malaysia yang menulis di Financial Times, The Washington Post, The Wall Street Journal, South China Morning Post dan The Economists. Malaysia pada ketika itu, seolah-olah ingin menjadi Republik Banana dengan Mahkamah Kangaroo.

Namun, Malaysia telah diselamatkan daripada kebohongan kleptokrasi, kakistokrasi dan paling penting, golongan bangsawan yang tamak. Hanya peraturan dan arahan daripada pihak atasan sahaja yang betul, yang lainnya salah. Aturan yang hanya ditentukan oleh Najib dan isterinya semuanya menjadi keputusan muktamad.

Agak menghairankan bahawa Najib, selepas kejatuhannya, mulakan serangan besar-besaran di media sosial, cuba mencabar pandangan seluruh rakyat Malaysia yang sudah serik dengan penafian dan penipuan beliau. Hasilnya?

‘Malu Apa Bosku?’ suatu kempen yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah B40, dengan harapan golongan yang kurang bernasib baik ini akan mengangkat Najib dan isterinya, sebagai pertukaran dengan ganjaran wang.

Biar apa pun yang terjadi, Malaysia di bawah pentadbiran PH bukanlah sebuah negara yang gagal. Ia sekadar mewarisi beberapa kegagalan yang diakibatkan oleh rejim Najib, namun itu tidak menggagalkannya sepenuhnya.

Ada tiga sebab untuk ini. Pertamanya, meskipun Bursa Saham Kuala Lumpur (KLSE) antara yang tidak mencatatkan prestasi baik di Asia, kita perlu terima hakikat bahawa Malaysia merupakan negara pengeksport yang bergantung kepada perdagangan. Apabila AS dan China diheret ke dalam perang dagangan, kesan buruk terhadap industri semi konduktor di Zon Eksport Bebas Cukai Pulau Pinang dirasa secara langsung. Saham tidak akan menjadi semakin bagus jika Washington dan Beijing terus berkelahi. Apa yang Malaysia boleh lakukan adalah sekadar melihat, dan berharap agar perang dagangan ini tidak akan memberikan kesan yang lebih buruk.

Keduanya, janganlah mengharapkan perubahan Malaysia boleh berlaku sepantas kilat meskipun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berusaha untuk merubah negara ini menjadi harimau Asia sekali lagi. Sejak 2003 hingga 2018, sekurang-kurangnya dua Perdana Menteri gagal menjalankan tugas dengan baik. Itu tentunya berhajat kepada proses pembaikan yang memakan masa.

Ketiganya, Malaysia pada hari ini tidak mampu beraksi dengan lebih baik kerana kerajaan terdahulu telah mengikat Malaysia dengan perjanjian-perjanjian berat sebelah, seperti yang berlaku dalam kes Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Jika Malaysia menarik diri daripada perjanjian tersebut, denda berbilion ringgit akan dikenakan dan jika mereka mengenakan denda tersebut, terutama saat Malaysia sedang dibelenggu hutang RM1.2 trilion itu, penarafan kedudukan kita di Fitch, Moody dan Standard & Poor akan menjunam.

Anggapan bahawa Malaysia gagal adalah jauh daripada kebenaran. Apa yang sedang dilakukan adalah menampal semula kelompongan yang dilakukan oleh pentadbiran lama. Negara gagal adalah sebuah negara di mana kos sara hidupnya bukan sekadar meningkat. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini