LONDON – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah memulangkan anugerah ijazah kehormat yang diterima baginda daripada Universiti Oxford Britain selepas dikecam oleh masyarakat global berhubung cadangan memperkenalkan hukuman bunuh ke atas pesalah homoseksual dan zina di negara berkenaan.
Sebelum ini, satu petisyen dilancarkan untuk mendesak pihak pengurusan universiti terbabit menarik balik ijazah kehormat yang diberikan kepada baginda pada tahun 1993.
Petisyen itu ditandatangani hampir 120,000 orang sehingga April lalu. Universiti Oxford mengesahkan perkara itu dan menjelaskan bahawa Sultan Hassanal Bolkiah membuat keputusan berkenaan pada 6 Mei lalu sebelum ia diumumkan semalam.
Brunei dikritik hebat selepas negara berkenaan mengumumkan pada 3 April lalu bahawa ia berhasrat untuk melaksanakan hukuman mengikut undang-undang syariah terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara itu.
Undang-undang syariah yang diperkenalkan itu mengenakan hukuman rejam hingga mati ke atas pesalah-pesalah khalwat dan amalan seks luar tabii.
Bagaimanapun, banyak kecaman yang diterima terhadap pendekatan itu dan sebagai langkah meredakan keadaan, baginda pada satu sidang akhbar mengumumkan untuk tidak melaksanakan hukuman tersebut.
Sebilangan artis, pelakon dan selebriti termasuk George Clooney dan Elton John menyuarakan bantahan serta meminta orang ramai memboikot rangkaian hotel milik Sultan Brunei. – Agensi











