KUALA LUMPUR 24 Mei- Beberapa pasukan Liga M3 menyokong sepenuhnya pendekatan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Liga Bola Sepak Amatur (AFL) yang berusaha membantu mengurangkan kos pada hari perlawanan bagi meringankan beban setiap pasukan bertanding.
Antaranya Kelantan United yang menerima pendekatan MFL dan AFL serta mengakui isu pemberian geran sepatutnya tidak perlu timbul kerana mereka telah diberi peringatan sebelum bermulanya Liga M3 bahawa tiada sebarang bantuan kewangan akan diberikan.
Timbalan Presiden Kelantan United FC, Datuk Zamri Ismail berkata, mereka boleh menerima pendekatan MFL dan AFL dalam isu format playoff dan tiada slot automatik diberikan kepada pasukan M3.
“Kami menyangkal ada laporan media yang menyatakan MFL ini seolah-olah tidak bertanggungjawab untuk membantu pasukan M3, malah, kami semua pasukan daripada awal lagi sudah sedia maklum yang kami tidak dijanjikan sebarang geran.
“Namun itu bukan bermaksud MFL atau AFL akan bersikap lepas tangan tetapi akan cuba membantu setiap pasukan dalam aspek lain terutama kos pada hari perlawanan.
“Melalui perjumpaan diadakan, semalam, antara semua pasukan dengan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, pihak MFL menerusi AFL akan berusaha membayar kos seperti yang melibatkan pengadil, jadi, secara tidak langsung perkara ini akan membantu pasukan yang berdepan kekurangan bajet.
“Mengenai isu play off jika mahu beraksi dalam Liga Perdana musim depan, kami sebenarnya sudah tahu sejak awal lagi dan bersetuju terhadap segala asas mengapa ia tidak diberikan secara automatik,” katanya.
Pengurus Tun Razak FC, Norsazli Md Zalaluddin juga bersikap positif di sebalik pendekatan MFL dan AFL yang bertimbang rasa mahu mengurangkan kos pada hari perlawanan sebagai langkah tepat memahami kekangan dihadapi pasukan M3.
Tambahnya, ia cukup penting kerana sekurang-kurangnya memahami masalah yang dihadapi sesetengah pasukan terutama dalam aspek kos pengangkutan dan penginapan jika bertandang selaku pasukan pelawat.
“Penerangan Kevin kepada kami cukup positif terutama dalam soal bantuan kepada pasukan bagi mengurangkan kos pada hari perlawanan, malah, Kevin dan AFL sedang bekerja keras membantu semua pasukan.
“Kita akan tunggu kenyataan rasmi MFL, cuma dalam isu ini diharapkan dengan sedikit bantuan, kami akan mampu terus bertahan beraksi sehingga penghujung musim ini,” katanya.
Tidak ketinggalan menyatakan sokongan ialah Setiausaha Agung Kuching FA, Iswandi Ali Hassan, yang mendengar dengan jelas berhubung soal tiada slot kepada pasukan M3 layak secara automatik.
“Sebelum ini banyak perkara tergantung dan kami tidak dapat penjelasan terperinci mengapa tidak ada slot automatik ke Liga Perdana diberikan sepertimana pasukan dari Piala FAM sebelum ini.
“Jadi, setelah mendengar penjelasan terperinci pada perjumpaan dengan MFL dan AFL, kami menerima keputusan itu dengan positif dan diharapkan perbincangan dua hala seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang, ” katanya.
Semalam, pihak MFL dan AFL mengadakan pertemuan dengan 14 pasukan M3 bagi menerangkan beberapa isu melibatkan faktor kewangan dan penjelasan di sebalik kedudukan dua pasukan teratas M3 perlu beraksi dalam saingan playoff dengan dua pasukan tercorot Liga Perdana jika mahu beraksi pada musim depan. – UTUSAN ONLINE











