MUNICH 24 Mei – Bayern Munich berminat untuk mendapatkan khidmat pemain sayap Manchester City, Leroy Sane, dedah presiden kelab gergasi Jerman, Uli Hoeness.
Sane, 23, berjaya mempamerkan aksi cemerlang sejak berpindah ke Etihad daripada Schalke tiga tahun lalu, namun dia sukar menempatkan diri dalam kesebelasan utama pada penghujung kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Penghijrahan Franck Ribery dan Arjen Robben menyaksikan Bayern perlu mencari pengganti dua bintang berpengalaman itu mengisi kekosongan yang ditinggalkan.
Spekulasi semakin hangat diperkatakan sejak beberapa minggu ini apabila difahamkan Bayern sedang berusaha mendapatkan tonggak Jerman tersebut.
“Kami sedang mempertimbangkannya,” Hoeness menjawab dengan ringkas apabila ditanya tentang minat mendapatkan Sane.
Pendedahan Hoeness itu hadir sehari selepas penyerang, Robert Lewandowski, mendakwa Sane mampu membawa pasukan itu ke tahap lebih tinggi.
Selain Sane, Bayern turut dikaitkan bakal memancing bintang RB Leipzig, Timo Werner dan pemain tengah Atletico Madrid, Rodri. – AGENSI











