KEPALA BATAS 24 Mei – Kira-kira 70 warga emas yang menjadi penghuni Rumah Penjagaan Warga Emas Darul Hanan di sini bertuah apabila dapat merasai bubur lambuk resipi istimewa Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, sebagai juadah berbuka puasa hari ini.
Walaupun Raja Permaisuri Agong tidak dapat menghadiri majlis berkenaan, resipi bubur lambuk tersebut tetap dimasak oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sambil dibantu oleh petugas-petugas pelbagai agensi di Kompleks Darul Hanan.
Pengerusi Rumah Penjagaan Warga Emas Darul Hanan, Datuk Jahara Hamid berkata, penghuni di kompleks tersebut tetap bersyukur kerana dapat merasai resipi bubur lambuk istimewa Raja Permaisuri Agong walaupun baginda tidak dapat hadir ke majlis berkenaan.
“Resipi ini memang unik kerana menggunakan bahan-bahan dan rempah ratus yang berbeza daripada bubur lambuk yang pernah dimasak di sini.
“Antara bahan yang digunakan ialah kerisik, sayur pucuk paku merah dan lain-lain, resipi istimewa ini menjadikan seolah-olah semangat baginda berada bersama dengan kami di sini,” katanya ketika ditemui di Rumah Penjagaan Warga Emas Darul Hanan, Pongsu Seribu di sini hari ini.
Menurut Jahara kesemua penghuni tetap berharap dapat bertemu dengan Raja Permaisuri Agong satu hari nanti.
“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri yang meluangkan masa melawat penghuni Darul Hanan hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, seorang penghuni Darul Hanan, Mazenah Shariff, 64, berkata, resipi bubuk lambuk istimewa daripada Raja Permaisuri Agong itu mengingatkannya kepada kampung halaman di Terengganu.
“Resipi baginda menggunakan sayur-sayuran di dalam bubur lambuk sama seperti di Terengganu.
“Saya berdoa agar baginda dapat melawat kami di sini selepas ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











