MELAKA 24 Mei – Majlis pelancaran program Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2019 yang dijadualkan pada 3 Ogos depan akan diadakan di negeri ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pemilihan Melaka sebagai tuan rumah acara itu bagi mengimbau sejarah pengisytiharan kemerdekaan negara yang dibuat di negeri ini pada tahun 1957.
“Pemilihan Melaka sebagai lokasi program pelancaran berkenaan adalah bertepatan kerana pengumuman kemerdekaan tanah air pernah dibuat di sini.
“Bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih’, kita menyasarkan sambutan kali ini dapat menarik penyertaan lebih 10,000 pengunjung sebagaimana yang dicapai ketika sambutan tahun lalu di Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Adly Zahari di Seri Negeri di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Kerk Chee Yee.
Menurut Gobind, tiga lokasi program telah dikenal pasti iaitu di Dataran Pahlawan, Dataran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dan Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir.
Katanya, kerajaan negeri turut mencadangkan lokasi sambutan di Dataran 1Malaysia Klebang namun kata putus lokasi tersebut akan ditentukan oleh kerajaan negeri dalam tempoh terdekat. – UTUSAN ONLINE











