KUALA LUMPUR 23 Mei – Duta Besar Belgium ke Malaysia, Pascal H. Gregoire turut memberi penghormatan terakhir ke atas kemangkatan Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, Pekan hari ini.
Beliau yang membuat satu hantaran dalam laman Twitter miliknya juga menzahirkan sembah takziah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah dan kerabat Diraja Pahang.
“Saya mewakili Belgium merafak sembah takziah buat Yang Di-Pertuan Agong dan kerabat Diraja Pahang,” katanya.
Dalam pada itu, keberangkatan tiba Sultan Abdullah pada 10.40 pagi dengan diiringi anakanda baginda, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, meruntun hati semua yang berada di Balairung Seri apabila baginda dilihat sebak dan kerap mengesat air mata.
Suasana bertambah sebak apabila baginda memeluk kekanda-kekanda baginda di hadapan jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Sultan Abu Bakar yang ditempatkan di ruangan tengah Balairung Seri itu. – UTUSAN ONLINE











