Pusat sehenti harumanis bernilai RM2 juta bakal beroperasi di UPM - Utusan Malaysia

Pusat sehenti harumanis bernilai RM2 juta bakal beroperasi di UPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 23 Mei – Sebuah pusat sehenti harumanis bernilai RM2 juta yang membolehkan orang ramai bukan sahaja menikmati buah ikon Perlis itu pada sepanjang tahun, tetapi juga produk hilirannya, bakal beroperasi di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, tidak lama lagi.

Ketika menyatakan perkara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UPM, Datuk Seri Syed Razlan Jamalullail berkata, pusat sehenti yang dinamakan sebagai Astana Putra UPM tersebut adalah hasil cetusan idea beliau.

Jelasnya, ia berikutan selepas beliau mendapat amanat dari Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail untuk mencari jalan bagi membantu penanam-penanam harumanis Perlis untuk memasarkan produk mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau memberitahu, pada masa sama baginda menzahirkan perasaan untuk melihat harumanis menjadi sebagai antara produk pertanian kebanggaan seluruh rakyat negara ini amnya dan Perlis, khususnya.

“Saya yakin pusat sehenti yang merupakan hasil kerjasama Pengurusan UPM, Koperasi UPM dan Persatuan Alumni UPM ini dan terletak di persimpangan laluan utama Bangi-Kajang, Cyberjaya, Putrajaya dan Serdang, akan mendapat sambutan ramai sekali gus menaikkan imej harumanis.

“Kita mahu melihat orang ramai boleh menikmati buah harumanis secara segar dari ladang, jus asli dan pulut harumanis yang merupakan makanan popular penduduk di utara Semenanjung ketika musim buah ini.

“Turut dijual nanti anak-anak pokok harumanis di dalam beg semaian selain pokok-pokok harumanis yang sudah berbuah di dalam pasu sepertimana pokok limau mandarin yang berbuah, dijual semasa Tahun Baharu Cina,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Syed Razlan seterusnya percaya berdasarkan hasil kajian yang dijalankan pelbagai pihak, harumanis boleh dinikmati sepanjang tahun dan tidak terhad antara April sehingga Jun sahaja seperti mana sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau menambah, menerusi pembinaan Astana Putra UPM, harumanis nanti dapat dipasarkan dengan lebih baik manakala harganya juga terjamin.

Beliau turut menyeru pekebun harumanis supaya meningkatkan kualiti penghasilan hasil pertanian itu kerana pihaknya akan memastikan hanya buah terbaik sahaja dipasarkan di situ.

Beliau seterusnya memberitahu, selain menikmati harumanis di Astana Putra UPM, yang kini di peringkat akhir pembinaannya, orang ramai juga boleh melakukan pelbagai aktiviti lain termasuklah mengadakan majlis-majlis berkonsepkan taman.

“Bangunan ini terletak bersebelahan Sensory Garden UPM. Ia bakal mencerminkan konsep Kampus Hijau dan Mesra Alam yang didokong oleh UPM selama ini,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini