AlQudsy, Ohga Corporation meterai MoU - Utusan Malaysia

AlQudsy, Ohga Corporation meterai MoU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Mei – AlQudsy Resources Sdn. Bhd. (AlQudsy) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat subsidiari Ohga Pharmacy Co. Ltd, dari Jepun iaitu Ohga Corporation untuk menjalin kerjasama strategik bagi memasarkan produk kesihatan dan kosmetik halal secara dua hala antara kedua-dua negara.

Memorandum tersebut dimeterai antara Ketua Pegawai Eksekutif AlQudsy, Datuk Muhamad Khairi Zakaria dan Presiden Ohga Corporation, Masato Nakata, sambil disaksikan oleh Pengarah AlQudsy, Aziz Jaafar Husain dan Pengarah Urusan Ohga Corporation, Razally Affandy.

Muhamad Khairi berkata, kerjasama antara AlQudsy dan Ohga Corporation akan berfungsi sebagai gerbang import dan eksport bagi kedua-dua negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau malah berkata, jalinan kerjasama itu juga antara lain akan menawarkan perkhidmatan kepada semua pengimport atau pengeksport yang berpotensi dalam bidang produk halal membabitkan pemilihan, permit, pelesenan dan kelulusan di Malaysia dan Jepun.

“Pada awal tahun ini, AlQudsy mula menceburi pasaran luar negara, Jepun disebabkan pelbagai produk kesihatan terkenal yang ditawarkan dan keterbukaan dalam industri halal.

“Pada asasnya, usaha menerokai pasaran Jepun merupakan pendekatan dua hala yang mana AlQudsy mengintai peluang untuk mengimport produk pengguna pertama dari Jepun ke Malaysia dan pada masa sama bekerjasama dengan pemilik produk sedia ada atau yang baharu di Malaysia untuk mengeksport produk mereka ke negara terbit matahari itu,” katanya pada Majlis MoU antara AlQudsy dan Ohga Corporation mengenai Perniagaan Dua Hala Malaysia-Jepun, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Masato berkata, Malaysia boleh menjadi hab bagi pasaran negara Asia Barat dan Asia untuk memasarkan produk kesihatan dan kosmetik halal.

“Jepun tidak boleh mengeksport produk ke negara-negara Islam secara langsung disebabkan perjanjian antara negara namun kita boleh pasarkan menerusi Malaysia.

“Kami memerlukan rakan kongsi yang boleh mengimport dan mempromosi produk kami ke pasaran Malaysia, Asia dan negara Islam,” katanya.

Sementara itu, Razally berkata, jalinan kerjasama itu juga secara tidak langsung mewujudkan fenomena baharu untuk menjual produk Malaysia ke Jepun.

“Kebaikannya yang diperoleh adalah apabila produk tempatan dieksport ke Jepun, kualiti produk kita juga sama dengan negara itu kerana perlu mematuhi piawaian negara itu untuk membawa masuk produk. Jepun mempunyai piawaian yang paling susah di dunia ini.

“Apabila kita dapat eksport ke Jepun maknanya kita mampu masuk ke negara lain dengan mudah. Ini sekali gus memberi status tinggi kepada produk Malaysia untuk bersaing dengan luar negara,” katanya.

Pengusaha yang berminat memasarkan produk kesihatan dan kosmetik halal Malaysia ke Jepun boleh menghubungi AlQudsy di talian 03-40108333. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini