RANTAU PANJANG 22 Mei – Seorang suri rumah Sharifah Norhidayah Syed Akil, 33, tidak menang tangan apabila akok berlauk ‘Mok Ku Rantau Panjang’ yang diusahakannya menjadi buruan masyarakat di sekitar Pekan Rantau Panjang.
Bagaimanapun Sharifah Norhidayah terpaksa menghadkan tempahan pada Ramadan kali ini kerana perlu menjaga anak kecil yang berusia lima bulan.
Menurutnya, kebiasaanya dia mampu menghasilkan lebih 100 biji akok berlauk sehari mengikut tempahan.
“Akok berlauk yang saya hasilkan ini berintikan daging lembu yang ditumis bersama rempah kari dengan campuran cili serta bawang goreng dan kemudian dibakar.
“Uniknya akok ini ialah ia mempunyai campuran rasa pedas, manis, manis dan lemak. Kesemua campuran itu akan disatukan dan kemudian dibakar diatas dapur sehingga masak,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Jalan Sekolah Cina Rantau Panjang.
Sharifah Norhidayah memberitahu, aroma yang dikeluarkan oleh akok tersebut mampu mampu membuatkan penggemar kuih akok kecur air liur.
Katanya, kuih tersebut dijual dengan harga RM5 sebiji dan kebanyakkan tempatan yang terimanya dari penduduk di sekitar Rantau Panjang.
“Untuk penduduk Rantau Panjang, saya buat perkhidmatan penghantaran secara percuma yang dilakukan oleh suami, Mohd. Hamedy Che Hasan,33,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











