KEMAMAN 22 Mei – Seorang nelayan asing dipercayai warga Kemboja nyaris maut selepas terjatuh ke dalam laut di kawasan pelantar minyak perairan Kemaman malam tadi.
Pengarah Maritim Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, mangsa, Avir Mat Saha Sakirin, 29, dikatakan terjatuh dari bot nelayan Kemboja yang dinaiki.
Katanya, mangsa ditemukan di sekitar kawasan Pelantar Minyak PULAI ALFA, kira-kira 138 batu nautika dari Pengkalan Bekalan Kemaman (KSB) pukul 10 hingga 11 malam tadi.
“Sebelum itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerima satu laporan polis berkaitan seorang nelayan asing telah terjatuh ke dalam laut tengah malam tadi.
“Mangsa dijumpai pihak Pelantar Minyak PULAI ALFA dan tindakan pantas oleh pasukan Fast Team Crew Pulai Alfa telah menyelamatkan mangsa yang masih hidup dan didaratkan di atas kapal Offshore Jati Eight,” katanya di sini hari ini.
Beliau memberitahu, mangsa yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri telah diberi penjagaan sewajarnya oleh pihak kapal sebelum dibawa ke KSB dan diserah kepada Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Rashidilhadi berkata, kejadian seumpama ini sering berlaku tanpa diduga dan sehubungan itu, Maritim Malaysia menyeru orang ramai supaya sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan ketika berada di laut.
Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Terengganu di 09-6224357. – UTUSAN ONLINE











