IPOH 22 Mei – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik digesa menarik balik kenyataannya yang mengaitkan isu kuota matrikulasi dengan kehendak majikan yang mengutamakan calon fasih bahasa Mandarin.
Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Howard Lee Chuan How beranggapan kenyataan Maszlee itu bersifat peribadi dan bukan merupakan pendirian Kabinet mahupun pandangan kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, Mazlee juga perlu kembali berpegang kepada pendirian kerajaan Pakatan Harapan yang mempunyai semangat muhibah dan bertekad untuk membantu semua kaum khususnya golongan majoriti B40 ekoran kenyatannya itu telah dijadikan senjata perkauman oleh golongan tertentu.
“Sepatutnya Dr Maszlee tidak perlu tunduk dengan retorik kaum yang dengan mudahnya telah dijadikan senjata oleh kumpulan-kumpulan ketuanan kaum.
“Sebagai menteri, beliau tidak sepatutnya menggunakan bahasa seperti seorang jagoan politik. Beliau jauh lebih baik, berpendidikan tinggi dan tentunya seorang ilmuan yang bijak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Howard turut mengingatkan Maszlee mengenai pendirian DAPSY yang telah dikemukakan kepada beliau secara langsung sebagai tindakan pemulihan sementara bagi menangani isu matrikulasi.
Beliau berkata, lima cadangan tersebut merangkumi menyelesaikan ketidaksamarataan yang besar dalam status quo di bawah sistem penapisan untuk peperiksaan matrikulasi bagi memastikan peluang yang lebih adil untuk pelajar-pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Beliau berkata, selain mengkaji semula sistem penggredan kokurikulum di matrikulasi supaya mempunyai nilai merit yang sama seperti STPM, kementerian juga dicadang mempertimbang penyerapan 15,000 tempat di program asasi-asasi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sedia ada sebagai sebahagian daripada matrikulasi.
“Kementerian juga dicadang mempertimbang kemasukan markah Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) secara automatik bagi pelajar-pelajar STPM atau membuka 2,000 peluang kemasukan tambahan bagi 2,000 pelajar teratas mengikut markah CGPA tanpa mengira kaum.
“Selain itu, penggabungan peperiksaan, silibus dan sistem penggredan antara STPM dan matrikulasi juga diwujudkan menjelang tahun 2020,” katanya.
Howard turut mencadangkan penubuhan satu Jawatankuasa Perundingan Hal Ehwal Pengajian Tinggi di peringkat sayap Pemuda Harapan kebangsaan untuk sama-sama mengusahakan satu penyelesaian demi belia, negara dan bangsa Malaysia.
“Saya yakin perkara ini akan dibincangkan secara mendalam dalam Kabinet dan Ketua Pemuda Harapan Nasional selaku ahli Kabinet akan menyampaikan suara anak muda dari segenap masyarakat Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE











