Baca al-Quran dengan bahasa isyarat - Utusan Malaysia

Baca al-Quran dengan bahasa isyarat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUDUK tertib di sudut paling hujung dalam kelas anjuran Akademi Tahfiz Pekak Malaysia di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Petaling Jaya, Selangor pada petang itu, sepasang mata milik Wan Mohamad Arif Iqbal Wan Mohd. Fauzi, 15, tertumpu kepada tafsir al-Quran di hadapannya.

Perlahan-lahan, jari-jemari kanannya membentuk satu persatu kod bahasa isyarat yang antaranya membentuk huruf Arab seperti ‘lam’, ‘ha’ dan ‘mim’ lengkap dengan tanda baris petikan ayat ke-41 surah al-A’raaf yang bermaksud: “Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan daripada api neraka, dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (daripada api neraka) dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim (disebabkan keingkarannya).”

Kurang memahami maksud perkataan ‘hamparan’ pada ayat tersebut, Wan Mohamad Arif Iqbal terus bertanya kepada gurunya yang juga merupakan pengasas Akademi Tahfiz Pekak Malaysia, Ustaz Ahmad Rozaimi Mohamed untuk meminta penjelasan lanjut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Begitulah antara rutin pembelajaran al-Quran yang dilalui oleh Wan Mohamad Arif Iqbal dan individu-individu cacat pendengaran yang mengikuti kelas anjuran akademi tersebut yang diadakan di masjid-masjid tertentu.

Buat masa ini, selain Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Petaling Jaya, kelas itu turut diadakan di Masjid Al-Mustaqimm Bandar Seri Putra, Kajang dan Masjid Taman Sri Melati, Selayang.

Akademi Tahfiz Pekak Malaysia yang diperkenalkan pada tahun 2017 merupakan platform pengajian khas pendidikan al-Quran dan fardu ain untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat pendengaran mempelajari al-Quran.

Sukar bertutur

Ia meliputi aspek talaqqi (pertemuan murid dan guru), musyafahah iaitu murid menerima pengajaran mengikut bacaan guru, tahriri (menulis ayat al-Quran secara hafalan), hafazan selain tadabur iaitu berfikir dan mengamati ayat-ayat al-Quran untuk memahaminya.

Dalam pengajian itu, komunikasi antara pelajar dan guru dilakukan menerusi bahasa isyarat. Memandangkan para pelajar yang cacat pendengaran ini sukar mengeluarkan suara kerana mempunyai masalah dalam pertuturan, jadi mereka membaca al-Quran dengan menggunakan bahasa isyarat.

“Untuk menghafal al-Quran juga agak susah. Misalnya, untuk surah al-Fatihah sahaja, saya perlu mengulang lebih 20 kali sebelum tahu membaca dengan bahasa isyarat dan menulis semula keseluruhan ayat yang dihafal tanpa melihat (al-Quran).

“Biasanya saya mengaji dengan ayah setiap kali selepas solat Maghrib atau Isyak,” kongsinya yang juga merupakan pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi di Sekolah Menengah Sultan Abdul Samad, Petaling Jaya kepada K2 dalam bahasa isyarat seperti diterjemahkan Ahmad Rozaimi.

Selain mengalami cacat pendengaran, Wan Mohamad Arif Iqbal juga mengalami kesukaran dalam bertutur.

Ibunya, Wan Suriani Wan Abdullah, 51, menjelaskan, anak tunggalnya mengalami masalah pendengaran sejak lahir di samping menghidap penyakit jantung berlubang.

Sewaktu berusia sembilan tahun, dia pernah dihantar berguru dengan Ahmad Rozaimi, namun rentetan masalah kesihatan yang dialami, dia tidak dapat meneruskan pengajian al-Quran selama beberapa tahun.

Namun, apabila keadaan kesihatannya beransur pulih, dia menyertai kelas baharu yang diadakan di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz pada Oktober 2017.

“Saya masih ingat pada peringkat awal, kami suami isteri buntu untuk mengajar anak tunggal kami membaca al-Quran. Dia langsung tidak boleh duduk diam walaupun dalam tempoh lima minit.

“Tetapi Alhamdulillah selepas mempelajari al-Quran dengan Ustaz Ahmad Rozaimi selama kira-kira setahun, dia sudah boleh memberi tumpuan termasuk tahu mendirikan solat serta bacaan ketika memenuhi tuntutan rukun Islam kedua itu,” kongsinya yang berharap anaknya dapat berdakwah menerusi bahasa isyarat suatu hari nanti.

Pada peringkat awal, kelas di masjid tersebut hanya disertai dua pelajar sebelum meningkat kepada lapan orang. Mereka berusia antara enam hingga 38 tahun.

Setakat ini, hanya dua pelajar yang telah menguasai bacaan al-Quran manakala selebihnya masih berada pada peringkat asas mengenal huruf dan teknik bacaan.

Salah seorang daripada pelajar yang telah menguasai al-Quran ialah Mohamed Rafiq Shauqi Mohamed Sam, 19, yang kini menuntut di Politeknik Sultan Abdul Aziz, Shah Alam, Selangor dalam bidang kejuruteraan mekanikal.

Mohamed Rafiq juga mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan.

“Saya akui sukar memberi komitmen dan ada ketikanya tidak dapat hadir ke semua kelas yang dianjurkan tiga kali sebulan. Saya sangat berminat untuk menghafal al-Quran kerana ingin beroleh manfaat dan syafaat kitab suci tersebut. Jika boleh, setiap hari saya cuba mencari waktu membaca al-Quran.

“Saya mula mempelajari al-Quran menggunakan kod bahasa isyarat sejak tahun 2012. Alhamdulillah saya sudah membaca sehingga juzuk tujuh al-An’am,” ujarnya dibantu jurubahasa.

Tempoh bacaan

Berbeza pula kisahnya dengan Muhammad Khairul Iman Abdullah, 12, dari Pantai Dalam, Kuala Lumpur yang merupakan satu-satunya murid normal yang menyertai akademi tersebut sekitar Oktober tahun lalu.

Anak sulung daripada enam adik-beradik itu memberitahu, dia berniat berkongsi ilmu yang dipelajari kepada kedua ibu bapanya yang merupakan OKU cacat pendengaran.

“Saya sebenarnya tinggal di sebuah rumah kebajikan berdekatan kawasan masjid ini. Saya hanya pulang ke rumah apabila cuti panjang dan buat masa ini, belum pernah membaca al-Quran bersama emak dan ayah. Insya-Allah nanti jika sudah mahir kami boleh membaca bersama-sama.

“Saya sebenarnya sudah tahu bahasa isyarat dalam pertuturan biasa. Cuma saya perlukan masa untuk mempelajari kod bahasa isyarat bagi huruf Arab. Buat masa ini, saya sudah hafal beberapa surah dalam kod bahasa isyarat seperti tiga Qul, al-Fatihah, al-Insyirah, ad-Dhuha dan at-Tiin,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Rozaimi berkata, pelajar perlu mengenal huruf hijaiyah iaitu abjad Arab sebelum diajar membaca al-Quran menggunakan bahasa isyarat.

Pada peringkat berikutnya, mereka akan diperkenalkan dengan bentuk huruf bersambung sehingga membentuk kalimah suci al-Quran. Mereka akan dinilai mengikut ketepatan membentuk kod bahasa isyarat yang dibuat.

Ahmad Rozaimi memberitahu, disebabkan pembacaan al-Quran golongan ini turut disertakan dengan pergerakan bahasa isyarat, jadi mereka memerlukan masa yang lebih panjang untuk membaca ayat-ayat suci, misalnya, mereka yang baru mempelajarinya mungkin mengambil tempoh selama 15 minit untuk menyelesaikan bacaan al-Fatihah manakala tiga minit bagi yang sudah menguasainya.

Beliau yang aktif mengajar pendidikan al-Quran kepada golongan cacat pendengaran pada tahun 2012 merupakan salah seorang ahli kumpulan kajian al-Quran bahasa isyarat di Akademi Fakih Intelek bertempat di Pusat Penyelidikan Al-Quran Universiti Malaya, Kuala Lumpur selain memiliki Diploma Pendidikan Jurubahasa Isyarat.

Baris

Katanya, golongan tersebut tidak diajar hukum tajwid, sebutan makhraj atau bacaan secara harakat kerana mereka tidak boleh mengeluarkan suara.

Bagi pelajar yang telah menguasai kaedah yang diajar, mereka diminta membaca al-Quran dengan bahasa isyarat disertai kod tanda baris.

“Pembelajaran setiap anak istimewa berbeza. Ada antara pelajar mempunyai isu lain seperti austisme dan hiperaktif selain tidak dapat mendengar. Jadi, harus banyak bersabar dalam melayani ragam mereka.

“Lama-kelamaan jika sudah faham, mereka akan gembira belajar kerana al-Quran itu sendiri adalah penawar buat kita.

“Namun, saya perhatikan, tidak ramai ibu bapa mempunyai kesedaran menghantar anak OKU ke kelas pengajian sebegini. Kesemua kelas yang saya anjurkan sendiri hanya disertai kurang daripada 10 pelajar,” ujarnya.

Akademi Tahfiz Pekak Malaysia yang diperkenalkan secara rasmi pada tahun 2017 menjadi platform untuk insan cacat pendengaran mempelajari al-Quran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini