MANILA 21 Mei – Konflik yang melanda bandar Marawi dua tahun lalu tentunya meninggalkan kesan yang cukup besar buat seluruh penduduknya sehingga ke hari ini.
Memetik laporan Reuters, pertempuran antara tentera Filipina dengan militan Daesh yang dianggap sebagai ‘perang paling lama di Filipina selepas Perang Dunia Kedua’ itu membawa kemusnahan yang dahsyat dan mengakibatkan hampir 10,000 penduduknya terpaksa berpindah demi keselamatan.
Mohammad Ali Acampong, 42, antara penduduk tempatan terselamat yang sehingga ke hari ini masih terkesan dengan insiden berdarah itu.
Masih segar dalam ingatan beliau ketika kediamannya yang baru sahaja siap diubah suai ketika itu terkena serangan bom dan peluru sesat yang hampir meragut nyawanya sekeluarga.
“Sejak kekacauan melanda, kehidupan kami yang sebelum ini selesa bertukar sukar sehinggakan tiada tempat berteduh, berpanas dan tiada sumber air,” katanya.
Serangan udara yang berterusan selama 154 hari mengakibatkan Marawi hampir menjadi ‘padang jarak padang tekukur’ dengan jerangkap samar dipasang di sekitarnya untuk mengekang kehadiran pemberontak.
Sekurang-kurangnya 500 keluarga terpaksa tinggal di bawah khemah plastik, termasuk Asnia Sandiman, 25, yang turut menerima kesan akibat perang berkenaan.
“Tinggal dalam khemah tidak teruk sehinggalah hujan turun, atau cuaca menjadi terlalu sejuk dan terlalu panas.
“Saya amat berharap kami dapat pulang semula ke Marawi. Saya rela tinggal di mana-mana sahaja asalkan dapat keluar dari sini,” jelasnya.
Sebanyak 165 tentera, 45 penduduk awam dan ratusan militan Daesh terkorban dalam konflik yang berlanjutan selama lima bulan itu.
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengisytiharkan pembebasan bandar tersebut pada Oktober 2017 dan berikrar untuk membangunkan semula Marawi.
Namun sehingga kini proses pembangunan semula kelihatan masih samar dan seakan tiada hala tuju.











