Sajian pelbagai kaum - Utusan Malaysia

Sajian pelbagai kaum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUAT penggemar sajian tradisional masyarakat negara ini, Palace of the Golden Horses, Kuala Lumpur adalah destinasi terbaik untuk berbuka puasa.

Menerusi konsep Lambaian Desa, terdapat kira-kira 150 jenis menu disediakan dengan kadar bayaran RM138 untuk dewasa dan RM69 bagi kanak-kanak.

Cef Eksekutifnya, Wilfred Lim Chia Loon berkata, bertempat di Carousel International Coffee House di hotel itu, sebanyak 15 gerai dibuka bagi membolehkan pelanggan memilih pelbagai juadah terbaik pelbagai kaum di negara ini termasuk kuih, buah-buahan dan pastri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Anak kelahiran Kuching, Sarawak itu berkata, menu yang menjadi tarikan utama pengunjung Palace of the Golden Horses adalah kambing bakar yang diperap dengan rempah ratus terpilih dan dipanggang dengan penuh kesempurnaan selain sup gear box serta laksa Johor yang sentiasa menjadi perhatian.

Beliau yang mempunyai kepakaran dalam masakan Itali berkata, masakan asli masyarakat Melayu seperti gulai kawah, kerabu lidah lembu, bubur lambuk, serunding, makanan laut segar dan ikan bakar beserta bahan cicah seperti air asam, cili kicap, perahan limau kasturi, budu, sambal mangga serta sambal belacan tetap menjadi pertaruhan terbaik Lambaian Desa.

“Selain aneka juadah pelbagai jenis masakan seperti nasi dan mi, hidangan sampingan yang menjadi kegemaran masyarakat berbilang bangsa seperti roti canai, murtabak ayam, otak-otak, popia serta roti John dengan resipi istimewa sedia menanti kehadiran pengunjung.

“Apa yang menarik, rusa masak lada hitam dan ayam kapitan yang dimasak dengan resipi masakan kaum Cina turut disediakan kepada orang ramai, bermula pukul 6.30 petang sehingga 10.30 malam. Selain itu, kambing diperap selama 48 jam bagi memastikan keenakannya dirasai sepenuhnya,” katanya kepada Mega Rona.

Mengulas lanjut, Chia Loon berkata, antara hidangan lain adalah Rendang Tok Malai yang merupakan resipi ciptaan cef Palace of the Golden Horses sendiri.

Tambahnya, selain makanan laut segar dibakar di hadapan pengunjung, hidangan ikan tenggiri berlada pastinya menambat selera.

Katanya, bagi mereka yang ingin menukar selera setelah menikmati hidangan tempatan, terdapat gerai menyediakan hidangan nasi beriani dengan aneka lauk dan jelatah.

Selain itu, kehangatan dan rasa dahaga hampir seharian berpuasa pastinya akan terubat dengan hidangan air kelapa yang turut ditambah dengan ais krim pelbagai perisa dan cendol dari gerai Air Batu Sagat Station.

“Setelah mengambil hidangan berat, pengunjung boleh bersantai sambil menikmati jeruk, bubur, sate, cucur, manisan, kuih Nyonya dan minuman popular masyarakat Malaysia, teh tarik sebelum pulang,” katanya.

Menurutnya, Carousel International Coffee House mampu menampung sekitar 400 orang dalam satu-satu masa di ruang utama manakala terdapat beberapa kanopi tertutup yang dilengkapi pendingin hawa di luar ruang utama.

Menurutnya, penyediaan beberapa buah kanopi tertutup mampu menampung 300 pengunjung dalam satu-satu masa sekali gus memberi keselesaan sekiranya bilangan tempahan meningkat pada hari berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini