KOLEKSI pakaian tradisional seperti kurung mahupun kebaya tidak mungkin pupus biarpun industri fesyen dibanjiri himpunan rekaan moden yang mempunyai sentuhan cita rasa baharu.
Malah, pakaian tradisional tetap menjadi pilihan ramai, tidak kira dalam kalangan orang dewasa mahupun remaja memandangkan koleksi itu mampu menyerlahkan lagi keayuan dan kecantikan diri si pemakai.

Sentuhan klasik turut memikat hati wanita mahupun kaum Adam untuk digayakan ketika lebaran terutama pada pagi hari raya atau saat menghadiri majlis-majlis rasmi yang memerlukan penampilan gaya tradisional.
Sehubungan itu, Salikin Sidek yang terkenal dengan penghasilan koleksi pakaian tradisional mengetengahkan gaya klasik baju kurung Riau Pahang, kebaya, baju kurung dan kurung Kedah.
Gaya klasik yang diketengahkan lebih terserlah dengan penggunaan fabrik tenun dan songket. Tenun yang diketengahkan adalah tenun kapas dengan corak berjalur dan tenun Pahang Diraja.
Songket pula adalah songket bunga tabur dan songket penuh yang tampak cantik digayakan pada majlis eksklusif.
“Gaya klasik sebenarnya tidak pernah hilang walaupun banyak rekaan moden memenuhi pasaran. Malah, ramai pelanggan masih mencari-cari pakaian tradisional terutama apabila tibanya hari raya.
“Tahun ini, koleksi raya menampilkan dua konsep iaitu pakaian yang selesa digaya–kan ketika mengunjungi saudara-mara pada waktu lebaran dan keduanya adalah gaya yang lebih mewah untuk majlis eksklusif,” katanya.
Buat gaya lelaki, Salikin memilih fabrik taffeta untuk baju Melayu yang dipadankan dengan samping songket mahupun tenun.
Koleksi tersebut boleh diperoleh secara dalam talian di Fashion Valet.
Selain jualan melalui talian, Fashion Valet juga memiliki butik fizikal di pusat beli-belah Bangsar Village II, Pavilion dan Publika di Kuala Lumpur serta IOI City Mall di Putrajaya.
Koleksi berkenaan turut dijual di butik Salikin Sidek di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.











