KUALA LUMPUR 20 Mei – Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan enam kenderaan lain di Jalan Istana menghala ke Sungai Besi berhampiran Nirvana Memorial Park, di sini hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada pukul 20.47 sebelum menghantar jentera ‘Fire Rescue Tender’ (FRT) serta 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah dan Pudu ke lokasi kejadian.
Komander Operasi Kanan, L. Logeswaran berkata, jentera FRT tiba di lokasi kemalangan pada pukul 9.02 malam dan mendapati kemalangan melibatkan enam buah kereta dan sebuah motosikal.
“Penunggang motosikal yang berusia 52 tahun disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh pegawai anggota Bulan Sabit Merah (PBSM).
“Manakala beberapa mangsa lain yang terlibat mengalami cedera ringan dan diberikan rawatan awal oleh unit EMRS,” katanya. – UTUSAN ONLINE











