IPOH 20 Mei – Dua Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CCC) DAP, Datuk Teng Chang Khim dan Dr P. Ramasamy sepatutnya mencermin diri sebelum mencerca Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Mohd. Hafez Mubin Salleh berkata, kata-kata dan tindakan mereka itu kelihatan seakan-akan menggambarkan tuan empunya badan yang membuat tuduhan.
“Selaku pemimpin-pemimpin kepada kerajaan negeri yang telah diberi dua penggal kepercayaan oleh rakyat, sepatutnya mereka tidaklah bodoh untuk memilih perkataan beradab untuk menyuarakan pendapat terutamanya pada rakan seangkatan.
“Malahan, tidaklah pula bodoh untuk mendapatkan maklumat terperinci atau pencerahan berhubung sesuatu kenyataan menteri daripada pihak berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Maszlee yang mempertahankan kuota matrikulasi serta mempertikaikan tindakan majikan menetapkan syarat fasih bahasa Mandarin di negara ini, diserang oleh Chang Kim dan Ramasamy.
Chang Kim yang merupakan exco kerajaan negeri Selangor, menyifatkan Maszlee sebagai bodoh sementara Ramasamy selaku Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang pula mendakwa Ahli Parlimen Simpang Renggam itu tiada bezanya dengan pemimpin UMNO.
Menurut Mubin, serangan mereka itu tiada bezanya dengan tindakan parti pembangkang iaitu Gerakan dan MCA yang menyerang bertubi-tubi pemimpin kerajaan Pakatan Harapan tersebut berhubung isu sama.
Malahan katanya, perbuatan itu mirip dengan sikap angkuh beberapa pemimpin UMNO sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu yang menunjuk jaguh pada kelompok tertentu sehingga menjadi ‘kaki pukul’ tidak kira lawan mahupun kawan.
“Bila tiba masa turun ke medan, diserang lawan bertubi-tubi di kiri dan kanan, mula menagih bantuan dan kawan pula serik, akhirnya kalah peperangan! Moga jadi tauladan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











