Jangan pertikai program matrikulasi - NC UiTM - Utusan Malaysia

Jangan pertikai program matrikulasi – NC UiTM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Tindakan kerajaan meningkatkan bilangan pelajar ke program matrikulasi mengikut nisbah tidak wajar dipertikaikan.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim berkata, golongan yang mempersoalkan kewajaran nisbah pelajar perlu melihat agenda negara yang lebih besar berbanding menjadikannya sebagai isu perkauman sempit.

Beliau berkata, penubuhan program matrikulasi adalah untuk meningkatkan bilangan pelajar bumiputera dalam jurusan sains, teknologi dan bidang profesional bagi merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Aspirasi ini memerlukan rakyat yang memiliki kemahiran tinggi khususnya dalam bidang sains dan teknologi. 

“Mengikut data statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2018, pekerja berkemahiran tinggi hanya sekitar 24.4 peratus dan pekerja separa mahir 62.2 peratus,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, jurang nisbah mengikut kaum yang terlibat dalam bidang sains, teknologi dan profesional masih ketara di mana kaum bumiputera masih ketinggalan. 

“Contohnya, dalam bidang perubatan, mengikut sumber Majlis Perubatan Malaysia pada tahun 2018, terdapat 24,891 bumiputera berbanding dengan 48,228 kaum lain. 

“Manakala dalam bidang kejuruteraan, mengikut sumber Lembaga Jurutera Malaysia pada tahun 2017, terdapat hanya 36,024 bumiputera berbanding dengan 101,478 kaum lain yang terlibat dalam bidang profesional tersebut,” katanya.

Justeru, Mohd. Azraai menegaskan jarak jurang itu perlu dirapatkan demi mewujudkan keharmonian agar keresahan dan kesangsian dalam masyarakat dapat dibendung.

“Jika ini berlanjutan, kita akan hanya menghabiskan usaha dan tenaga berbalah dengan prejudis sehingga menjejas usaha kerajaan yang bersungguh-sungguh untuk mewujudkan keadilan sosial demi Malaysia baharu,” jelasnya.

Media sebelum ini melaporkan Kabinet bersetuju jumlah pengambilan pelajar untuk memasuki Program Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia ditingkatkan kepada 40,000 tempat, berbanding 25,000 pada tahun lalu.

Pada masa sama, Kabinet sebulat suara mengekalkan kuota kemasukan dengan 90 peratus untuk pelajar Bumiputera manakala 10 peratus kepada bukan bumiputera.

Malah media turut melaporkan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dipetik berkata, pihak yang menuntut kelonggaran bagi kuota kaum matrikulasi, juga perlu membangkitkan isu kelayakan mendapat pekerjaan yang tidak adil dan didominasi kumpulan tertentu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini