Sathia geram Selangor main sambil lewa - Utusan Malaysia

Sathia geram Selangor main sambil lewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JURULATIH Selangor, B. Sathianathan gagal menyembunyikan rasa kecewanya selepas menyaksikan skuad Gergasi Merah gagal melakar kemenangan ke atas PKNP FC pada aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) kelmarin.

Pengendali berusia 60 tahun itu berkata, keputusan seri 1-1 tidak sepatutnya berlaku jika anak-anak buahnya bermain dengan baik dan menyempurnakan peluang yang terhidang sepanjang 90 minit permainan.

“Pemain kena ubah sikap, jangan ambil sambil lewa, saya sudah beritahu dalam perbincangan sebelum perlawanan dengan pemain. Kita tidak boleh pandang rendah keupayaan PKNP FC, namun sebaliknya yang berlaku.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Daripada sepakan penjuru hingga ke sepakan percuma, kita tidak ambil peluang itu. Ada (pemain) yang ten­dang bola tidak sampai ke sasaran dan langsung tidak membahayakan kubu gol PKNP FC. Jadi, selepas ini semuanya kita kena betulkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Pada aksi tersebut, Selangor terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-28 hasil jaringan awang import, Olesegun Ifedayo sebelum PKNP FC berjaya menyamakan kedudukan melalui penyerang, G. Mugenthiran di minit ke-48.

Sathianathan berkata, para pemain Selangor tidak boleh menjadikan amalan berpuasa sebagai alasan yang menyebabkan kegagalan untuk beraksi pada tahap terbaik kerana rata-rata pemain PKNP juga berpuasa, namun dilihat lebih agresif.

“Lebih 80 peratus serangan ke kubu mereka berjaya dipatahkan. Selain itu, taktik melengah-lengah­kan masa permainan yang dilakukan mereka juga berjaya menyekat kita daripada terus melancarkan serangan,” katanya.

Keputusan itu me­nyaksikan Selangor kekal di tangga keempat liga dengan 22 mata dan berada di belakang pasukan tangga ketiga, Kedah yang turut mengumpul 22 mata, namun memiliki kelebihan daripada perbezaan jaringan. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini