PARIS – Juara dunia lima kali, Marc Marquez kini menyamai rekod Valetino Rossi yang mencatat keputusan petak pertama (pole position) paling banyak dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).
Marquez yang terkenal dengan gelaran The Baby Alien meraih petak pertama buat kali ke-83 sepanjang kariernya atau ke-55 dalam kelas perdana selepas melakukannya di Grand Prix (GP) Perancis kelmarin meskipun pada awalnya terjatuh pada sesi kelayakan.
Bagaimanapun, Marquez masih menduduki tangga kedua selepas legenda MotoGP, Mick Doohan masih kekal sebagai pelumba paling banyak meraih kedudukan petak pertama iaitu 58 kali untuk kategori kelas perdana.
“Ia adalah sesi kelayakan yang sukar kerana bukan sahaja melibatkan kepantasan tetapi berkenaan strategi, menjadi lebih bijak dan memahami keadaan litar.
“Ketika saya keluar dari pit, saya melihat kami membuat keputusan tepat dengan memulakan perlumbaan menggunakan tayar jenis basah. Saya bekerja keras seawal pusingan pertama untuk mencari kedudukan di petak pertama.
“Pada pusingan kedua, keadaan tidak berapa baik dan terjatuh di selekoh keenam. Saya gembira kerana kami membuat keputusan yang tepat pada sesi pertama tersebut,” kata Marquez. – Agensi











