KULAI 19 Mei – Seramai 100 anak yatim dan miskin termasuk 40 kanak-kanak Rohingya diraikan pada Majlis Iftar Perdana yang dianjurkan oleh Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Bahagian Kulai dan Senai serta Humanitarian Care Malaysia (MyCare).
Mereka diraikan di Le Grandeur Palm Resort, Senai di sini kelmarin yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Tosrin Jarvanthi.
Program yang turut mendapatkan kerjasama Le Grandeur Palm Resort, Yayasan Sejahtera Kulai dan Pasaraya Econsave diadakan buat tahun kelima berturut-turut bagi meraikan kanak-kanak kurang bernasib baik sempena Ramadan.
Pengerusi MyCare Johor, Prof. Dr. Mohd. Zin Kandar berkata, komuniti Rohingya yang terdapat di negeri ini kebanyakannya berada di kawasan Senai, Kluang, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Katanya, nasib komuniti Rohingya ini kurang mendapat pembelaan malah mereka juga tiada hala tuju setelah kemelut antarabangsa yang terus berpanjangan.
“Kita bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagi mewujudkan pusat pendidikan buat mereka dan dalam masa sama mencari dana menambah baik madrasah mereka yang dalam keadaan daif.
“Dengan adanya pusat pendidikan itu dapat kita memberikan pembelajaran formal kepada mereka. Setidaknya di pusat pendidikan itu mereka dapat belajar agama, pandai mengerjakan solat dan boleh membaca al-Quran,” katanya ketika berucap dalam majlis itu.
Dalam majlis itu kesemua mereka menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian, baju raya, kuih raya serta duit raya. – UTUSAN ONLINE











