Rawatan akar gigi - Utusan Malaysia

Rawatan akar gigi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sudah hampir dua minggu umat Islam menjalani ibadah puasa. Pasti banyak undangan majlis berbuka puasa yang diterima. Sudah tentu sesiapa pun tidak mahu diganggu oleh sakit gigi dalam majlis seperti itu. Bayangkan ingin menjamah makanan yang enak dan bergelak ketawa, gigi berasa sakit dan tidak dapat mengunyah. Ditambah rasa berdenyut-denyut, bengkak serta panas di kawasan sakit tersebut.

Sakit gigi yang berdenyut seperti yang dikatakan tadi berkemungkinan disebabkan daripada pulp atau saraf gigi yang membengkak dan seterusnya mati dan mereput. Saraf gigi yang mereput akan menyebabkan pembentukan nanah di hujung akar gigi sekali gus menyumbang kepada rasa sakit berdenyut. Sakit berdenyut ini akan lebih parah pada waktu malam terutama apabila berbaring. Tidur juga akan terganggu menyebabkan mereka yang mengalami sakit gigi cenderung mengalami emosi tidak stabil dan cepat marah.

Mungkin sesiapa yang mengalami sakit gigi seperti ini akan timbul perasaan menyampah dan benci pada gigi dan tidak sabar untuk bertemu doktor gigi agar gigi yang sakit itu dicabut dengan segera. Namun orang kata, keputusan yang dibuat semasa marah selalunya salah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lazimnya apabila anda ke klinik gigi, doktor gigi akan menenangkan anda terlebih dahulu. Gigi perlu diperiksa untuk melihat keadaannya. Keputusan untuk mencabut gigi dibuat apabila struktur gigi telah banyak hilang dan tidak boleh diselamatkan dengan tampalan atau korona gigi. Ini termasuk jika gigi sakit dan bengkak disebabkan oleh gigi terlalu goyang yang diklasifikasikan sebagai mobiliti tahap tiga atau sekiranya gigi mengalami patah vertikal yang menyebabkan gigi terbelah dua.

Selain daripada situasi tersebut, doktor gigi biasanya akan menyarankan rawatan akar gigi. Ia ialah rawatan yang dilakukan untuk menghilangkan rasa sakit, pada masa sama mengekalkan gigi pada kedudukan asalnya dengan membuang saraf gigi tersebut. Gambar x-ray gigi perlu diambil untuk melihat status tulang, kedudukan dan bentuk hujung akar gigi, bilangan akar serta bilangan saluran saraf yang ada. Rawatan akar gigi yang lengkap biasanya memerlukan tiga hingga empat temu janji dengan doktor gigi.

Apabila sudah jelas gambaran gigi yang ingin dirawat, doktor gigi akan memberikan ubat bius setempat agar rawatan boleh dijalankan tanpa sakit dan pesakit merasa selesa. Kaviti akan ditebuk pada gigi hingga ke kebuk saraf dan saraf yang telah mati dikeluarkan menggunakan alat bergerigi yang dipanggil endodontic file. Salur akar akan diirigasi untuk memastikan bersih daripada bakteria dan mendapan sebelum doktor gigi meletakkan bahan antiseptik dalam gigi dan menutupnya dengan tampalan sementara. Bahan antiseptik akan dibiarkan selama seminggu hingga sebulan bergantung respons gigi kepada rawatan tadi.

Jika gigi sudah tidak sakit, tidak bengkak dan kembali berfungsi dalam pengunyahan seperti sedia kala, sudah sampai masanya rawatan akar diselesaikan. Bahan antiseptik yang diletakkan sebelum ini akan dikeluarkan dan diganti dengan bahan tampalan akar dipanggil gutta percha yang disalut dengan simen khusus untuk memenuhi salur akar supaya infeksi tidak berulang.

Selepas itu, tampalan kekal gigi diletakkan untuk menutup kembali kaviti yang dibuat pada temu janji sebelum ini. Jika tampalan gigi besar dan melebihi separuh daripada nisbah saiz gigi, doktor gigi anda akan memasangkan korona gigi bagi melindungi gigi yang dirawat akar daripada pecah dan patah akibat beban kunyahan.

Perlu diingat, gigi yang telah dirawat akar tidak lagi mempunyai sensasi. Mungkin anda tidak perasan ketika menggigit dengan kuat pada gigi tersebut. Juga gigi yang telah dirawat akar agak rapuh berbanding gigi yang hidup kerana tidak lagi mendapat bekalan darah dan nutrisi daripada akar gigi.

Walaupun kedengaran sukar, rawatan akar gigi tidaklah serumit yang disangka. Di tangan doktor gigi bertauliah, anda akan berasa selesa dan tidak perlu gusar dengan prosedur ini. Pesanan saya, jika mengalami sakit gigi dengarlah pilihan rawatan yang diberikan oleh doktor gigi anda. Cabutan gigi adalah rawatan terakhir dalam pilihan kerana tiada ganti yang lebih sempurna daripada gigi yang asli.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini