KUALA LUMPUR 18 Mei – Individu yang bakal memikul tugas sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor dijangka akan diumumkan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara tersebut akan diumumkan selepas beliau berbincang terlebih dahulu dengan Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Saya telah memanggil Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Selangor pada 5 April lalu yang melibatkan ketua-ketua Bahagian serta ketua-ketua sayap dan mengumumkan untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor berkuat kuasa pada 1 Mei lalu.
“Sementara mendapatkan calon pengerusi yang baharu, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan memangku tugas pengerusi. Dalam tempoh tersebut, saya juga telah mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua Bahagian dan ketua-ketua sayap parti bagi mendapatkan pandangan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, tambah Ismail Sabri lagi, sehingga kini beberapa ketua bahagian telah menyatakan minat mengisi jawatan tersebut dan mereka merupakan pemimpin yang berkebolehan dan berwibawa menerajui UMNO Selangor.
“Setelah hampir setahun mengemudi UMNO Selangor, prestasi UMNO Selangor telah dapat dipertingkatkan. Kejayaan terbesar adalah kemenangan Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih daripada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu pada 2 Mac lalu.
“Sehubungan itu, saya merasakan UMNO Selangor sudah boleh dipimpin oleh pemimpin-pemimpin dari negeri itu sendiri yang mempunyai kemampuan meneruskan kebangkitan UMNO di Selangor,” katanya.-UTUSAN ONLINE











