Terminal Sentral Kuantan kotor - Utusan Malaysia

Terminal Sentral Kuantan kotor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini saya berkunjung ke Terminal Sentral Kuantan dan terkejut dengan kawasan sekitar hentian bas ekspres itu yang kotor dan tidak tersusun. Kon-kon pengadang jalan yang melarang kenderaan diletakkan di situ berada dalam keadaan bersepah-sepah dan tali turut digunakan sebagai halangan. Jalan pula berlopak-lopak.

Tempat letak kenderaan berbayar di aras bawah juga tidak tersusun dan kotor. Keadaan tandas juga kotor dan berbau kerana tiada penyedut udara keluar walaupun berbayar. Begitu juga keadaan surau yang tidak dikemas serta jaring kipas penuh dengan kotoran kerana tidak dibersihkan.

Masalah paling ketara adalah kerosakan tangga bergerak yang tidak diperbaiki sehingga menyulitkan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas yang hendak berurusan di hentian itu, tambahan pula tiada kemudahan lif disediakan. Untuk berurusan di kaunter tiket atau ke bilik menunggu terpaksa menggunakan tangga. Lebih menyusahkan tempat letak kenderaan di aras bawah manakala kaunter tiket berada di aras atas.

Ruang menunggu di tingkat bawah juga panas kerana tidak disediakan pendingin hawa. Keadaan yang daif ini tentulah memberikan imej buruk terutama kepada pelancong yang menggunakan perkhidmatan hentian ini.

KOI PEMBERSIH
Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×