KUALA LUMPUR 17 Mei- Petron Malaysia, antara peneraju syarikat minyak di Malaysia, akan menyediakan pemeriksaan kereta secara percuma di stesen minyak Petron yang terpilih sempena musim perayaan ini.
Petron dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan program kempen keselamatan jalan raya yang telah memasuki tahun ketujuh itu turut disokong syarikat pengeluar automotif, Honda Malaysia; syarikat pengeluar tayar, Michelin Malaysia; dan pembekal utama komponen automotif, Bosch Automotive Aftermarket.
“Bosch Automotive Aftermarket akan menyediakan pemeriksaan keselamatan kereta terperinci termasuk keadaan bateri dan pengelap cermin kereta bagi semua jenis kenderaan di lima stesen Petron yang terletak di Lembah Klang dari 18 hingga 19 Mei, dan 25 hingga 26 Mei.
“Meneruskan kerjasama dengan Honda Malaysia, Petron menawarkan perkhidmatan 32-mata pemeriksaan kenderaan di enam stesen minyak dan pelanggan juga boleh dapatkan tayar Michelin di 15 stesen minyak Petron bagi memastikan tayar mereka selamat,” kata kenyataan itu. -BERNAMA











