KUANTAN 17 Mei – Keputusan sama ada penjawat awam di negeri ini mendapat ‘duit raya’ atau sebaliknya akan dibuat dalam tempoh secepat-cepatnya seminggu lagi.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak berkata, ketika ini kerajaan negeri tidak boleh membuat sebarang janji atau memberi jawapan berhubung perkara berkenaan.
Beliau berkata, terdapat kira-kira 11,000 kakitangan awam di bawah negeri ini.
“Kita belum putuskan lagi. Mungkin dalam seminggu dua lagi kita buat keputusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Berbuka Puasa Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) di sebuah hotel di sini semalam.
Yang hadir sama Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.
Tahun lalu, seramai 7,324 penjawat awam Gred 41 ke bawah di negeri ini menerima ‘duit raya’ berjumlah RM450 daripada kerajaan negeri sebagai persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
Pemberian khas itu melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan kira-kira RM3.2 juta. – UTUSAN ONLINE











