Kertas konsultasi PTPTN boleh diakses - Utusan Malaysia

Kertas konsultasi PTPTN boleh diakses

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Mei – Orang ramai terutama­nya peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) boleh mula memberikan maklum balas berkaitan skim bayaran balik pinjaman PTPTN baharu dan langkah mempertingkatkan ke­langsungan pinjaman menerusi Kertas Konsultasi Rakyat (KKR).

Menurut Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, KKR yang dilaksanakan dalam bentuk kajian dalam talian menerusi halaman www.ptptn.gov.my/kertas-konsultasi-rakyat membolehkan orang ramai diberikan maklumat lengkap, telus dan terbuka bagi menggalakkan maklum balas yang bermaklumat dan membina.

Menurutnya, selain daripada peminjam PTPTN, konsultasi rakyat itu juga diharapkan dapat melibatkan pelbagai lapisan masyarakat kerana setiap keputusan dasar berkaitan kewangan negara mungkin mempunyai kesan ke atas golongan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

‘‘Sebelum ini, pelbagai pihak tidak kira individu atau secara berkumpulan telah cuba menyumbang penyelesaian kepada PTPTN, namun cadangan mereka dilihat kurang berkesan kerana tiada fakta sebenar.

‘‘Menerusi konsultasi rakyat ini, kami mengambil pendekatan telus dan terbuka bagi memastikan fakta sebenar dan hasil perbincangan sesi meja bulat pada awal tahun ini dapat diakses oleh rakyat.

‘‘Kami berharap kaedah dapatan daripada rakyat yang dilaksanakan ini mampu mengumpul penyelesaian praktikal dan mampu untuk dilaksanakan serta pada masa yang sama, menggalakkan penyertaan orang awam dalam proses memutuskan dasar kerajaan,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Wan Saiful, cabaran utama PTPTN adalah untuk memperkenalkan skim baharu bagi bayaran balik pinjaman yang berpatutan dan dalam masa yang sama tidak menghalang kemampuan pihkanya membantu 200,000 pelajar yang bergantung kepada pinjaman PTPTN.

Katanya, sehingga kini PTPTN mempunyai hutang berjumlah RM40 bilion dan merupakan antara entiti terbesar yang dijamin kerajaan.

‘‘Responden kajian ini akan mengetahui bagaimana hutang besar ini terkumpul dan melihat statistik berkaitan masalah berterusan bagi tahap bayaran balik pinjaman yang rendah.

‘‘Menerusi perkongsian maklumat, orang ramai boleh memberi maklum balas dalam lima kategori iaitu skim baharu bayaran balik berpatutan; cara memperbaiki kadar bayaran balik secara konsisten; membantu PTPTN berjimat; membantu mengurangkan kos dana dan juga meningkatkan pulangan,’’ katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini