KUALA LUMPUR 15 Mei – Malaysia ingin mencontohi program pembangunan bola sepak Akademi Aspire di Qatar bagi melahirkan pemain-pemain berkualiti dalam merealisasikan impian negara layak ke Piala Dunia.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kaedah yang digunakan akademi itu melalui pencarian bakat muda dari serata dunia untuk ditempatkan bersama serta bersaing dengan pemain tempatan akhirnya berjaya membantu negara Asia Barat tersebut membentuk sebuah pasukan bola sepak kompetitif.
Antara kejayaan terkini Qatar ialah menjuarai Piala Asia 2019 pada Januari lalu dengan ramai pemain dilahirkan menerusi Akademi Aspire, jelas Syed Saddiq.
Menteri itu percaya pendekatan sama boleh diguna pakai di Akademi Mokhtar Dahari (AMD).
“Saya telah pun berbincang perkara ini dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin dan beliau juga setuju.
“Alhamdulillah, saya ucapkan terima kasih kepada beliau dan beliau pun mencadangkan perkara sama tentang perancangan jangka pendek dan panjang dan kita sehaluan dalam memastikan bahawa pasukan Malaysia akan masuk Piala Dunia,” katanya.
Beliau berkata selepas sambutan Hari Belia Negara 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi dekat sini, semalam yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
FAM sebelum ini telah melancarkan Peta Hala Tuju dinamakan sebagai F:30 dalam usaha menjadikan Malaysia antara lima negara terbaik Asia menjelang tahun 2030, sekali gus dilihat mampu merebut kuota wakil Asia ke Piala Dunia seawal 2030.-UTUSAN ONLINE











