BENTONG 16 Mei – Tiga keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas tiga buah rumah separuh kayu musnah dalam kebakaran di Kampung Kuala Repas di sini petang ini.
Difahamkan, kejadian kira-kira pukul 6 petang berkenaan bermula dari sebuah rumah yang tidak mempunyai penghuni pada masa itu.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) daerah, Zainal Abidin Nong Chik berkata, bomba yang tiba pada pukul 6.39 petang berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya pada pukul 7.20 petang.
“Apabila sampai, api telah marak di rumah kedua dan kita berusaha mengawal kebakaran daripada merebak ke surau bersebelahan serta sebuah rumah di belakangnya.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan cuma seorang wanita di rumah bersebelahan mengalami sesak nafas dan pengsan akibat asap tebal serta seorang remaja yang luka kecil di bahagian kaki.
“Kita masih menyiasat punca kebakaran daripada segenap aspek dan jumlah kerugian,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Penghulu Mukim Bentong 2, Mohd. Khairun Abdullah berkata, bantuan awal berupa pakaian, selimut dan makanan diberikan kepada mangsa terlibat dalam kebakaran.
Ujarnya, mangsa menumpang di rumah saudara masing-masing dan pihaknya akan mengutip derma daripada penduduk kampung. – UTUSAN ONLINE











