KUALA LUMPUR 16 Mei – AmBank Group merangkul anugerah ‘Projek Peralihan Teknologi Digital Paling Inovatif’ membabitkan AMY iaitu pembantu maya bagi perkhidmatan pelanggan bank itu di Anugerah The Asset Triple A 2018 di Hong Kong baru-baru ini.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Datuk Iswaraan Suppiah berkata, AMY yang juga akronim bagi ‘AmBank Malaysia’ menerima anugerah tersebut berikutan kewujudannya sebagai revolusi perkhidmatan di pasaran Malaysia yang membolehkan pelanggan perbankan mudah alihnya menangani keperluan berkaitan kad kredit AmBank secara pantas dan mudah.
“Khidmat AMY adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia. Kami melancarkan AMY bagi menyuntik keunikan pengalaman pengguna kad kredit kami.
“Kami mengambil maklum mengenai alasan penting dan punca utama pelanggan menghubungi khidmat pelanggan dan mewujudkan pengalaman yang lancar hanya menerusi aplikasi perbankan mudah alih ini,” kata dalam kenyataan di sini hari ini.
Anugerah itu mengiktiraf syarikat teknologi kewangan yang terbukti memberi impak terhadap proses perniagaan dalam kalangan peserta sedia ada selain mereka yang melaksanakan aspek digital bagi mempertingkat khidmat bagi kemudahan pelanggan masing-masing. – BERNAMA











