KUALA LUMPUR 16 Mei – Seramai 210 warga Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyertai Program Memasak Bubur Lambuk sempena bulan Ramadan, semalam.
MPS dalam satu kenyataan memberitahu, program yang dianjurkan dengan kerjasama Kelab Sukan dan Rekreasi MPS itu bermula pukul 9 pagi dan selesai pada 12.30 tengah hari dengan aktiviti pembungkusan secara gotong- royong.
“Melalui program itu, kami berjaya menghasilkan sebanyak 4,000 bekas bubur lambuk untuk diagihkan kepada kakitangan MPS, agensi-agensi kerajaan berhampiran dan juga pengunjung Bazar Ramadan.
“Acara tahunan ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial warga MPS kepada masyarakat setempat sempena bulan Ramadan di samping dapat mengeratkan hubungan silaturahim,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











