Selamatkan karang kita - Utusan Malaysia

Selamatkan karang kita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Terumbu karang merupakan antara ekosistem yang kaya degan kepelbagaian biologi di dunia. Karang mempunyai pelbagai bentuk, warna dan saiz tetapi secara amnya ia merupakan hidupan yang sensitif dan kini diancam dan mengalami banyak kerosakan. Karang bukanlah batu atau konkrit, tetapi binatang hidup yang perlu makan, bernafas dan sumbangannya amat besar dalam ekosistem marin.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran (PPSMS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Tan Chun Hong berkata, karang mungkin kelihatan seperti tumbuh-tumbuhan tetapi ia adalah haiwan dan memerlukan makanan.

“Terumbu karang merupakan habitat kepada banyak haiwan marin kerana ia bertindak sebagai rumah, penyedia makanan (ikan) dan melindungi pantai.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Justeru, kita perlu selamatkan karang meskipun dengan langkah kecil tetapi ia mungkin memberi impak yang besar,’’ ujarnya.

Langkah -langkah pemuliharaan karang bukan lagi sesuatu yang baharu, sebaliknya banyak pihak telah memulakannya di serata tempat.

Di UMT kata beliau, usaha tersebut dimulakan sejak 20 tahun lalu kebanyakannya di pulau-pulau sekeliling Terengganu.

Kini usaha tersebut diteruskan dengan tujuan serampang tiga mata iaitu untuk penyelidikan, pemindahan ilmu dan pendidikan.

Tanggungjawab tersebut bukan mudah kerana berdepan dengan cabaran seperti kos yang tinggi dan kadar pertumbuhan karang amat rendah.

Maka, bagi mencapai satu sistem terumbu karang yang sihat, ia memakan masa ribuan tahun.

Walau bagaimanapun, cabaran tersebut tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada usaha pemuliharaan apatah lagi banyak terumbu karang di seluruh dunia berdepan kerosakan akibat masalah yang dibincangkan sebelum ini iaitu aktiviti manusia dan pemanasan global.

Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, di UMT pihaknya telah melakukan pelbagai usaha dan beberapa pencapaian yang boleh dikongsi.

Antaranya menbangunkan sistem mesocosm karang dan sebanyak 10 spesies karang telah dikaji selain pembangunan latihan untuk pemantauan kesihatan karang.

Pembinaan sistem mesocosm yang bertapak di hatceri Institut Akukultur Tropika (Akuatrop) universiti berkenaan baru sahaja bermula pada tahun lalu.

Dari segi penyelidikan, beliau telah mengkaji kadar pertumbuhan secara ex-situ dan in-situ dan didapati secara purata pertumbuhan tahunan karang seperti spesies Acropora digitifera dalam mesocosm adalah kira-kira 4.2 mm manakala kajian berkaitan cubaan menggunakan kaedah pemakanan pelbagai jenis seperti sos ikan bilis dan artemia mencatatkan pertumbuhan peralahan.

Kajian ketiga pula membabitkan kesan pemanasan global terhadap pertumbuhan karang dan dapatan utama peningkatan suhu air laut sebanyak dua darjah Celsius tidak kelihatan pada permukaan karang tetapi kemungkinan kesan dalam sel-sel yang sukar dikesan. Tambahan lagi kematian karang meningkat dengan peningkatan empat darjah Celsius.

Menurut beliau lagi, kajian keempat terhadap karang adalah menguji teknik-teknik penanaman batu karang dengan menggunakan bahan berbeza, seperti simen, wayar dan tali.

Kajian masih dijalankan dan beliau mendapati tumbesaran karang akan berubah mengikut bahan yang berbeza dan orientasi pucuk karang.

Selain empat kajian tersebut, dalam aspek pemindahan ilmu program yang diadakan seperti latihan pemantauan kesihatan karang terutama fokus kepada komuniti pemegang taruh tempatan yang bergantung kepada terumbu karang sebagai sumber ekonomi mereka.

“Ramai komuniti tempatan yang memahami kepentingan terumbu karang bergiat dalam latihan pemantauan untuk melindungi terumbu mereka,” ujarnya.

Dari aspek pendidikan pula, UMT sering mengadakaan syarahan umum melibatkan pelajar, orang awam dan mereka yang berkepentingan dalam industri tersebut.

Mengenai perancangan masa akan datang, pihaknya menyasarkan melibatkan lebih ramai orang dan memberi pendidikan mengenai alam sekitar khususnya ekosistem marin serta menjadikan pengajaran sains lebih menyeronokkan.

Beliau juga berharap dapat menjalankan lebih banyak penyelidikan karang dengan menggunakan tangki mesocosm yang didirikan bersama industri (Aquaria KLCC).

“Dalam kajian ex-situ kami boleh mencipta keadaan marin pada masa depan (terutama keadaan marin di bawah pengaruh perubahan iklim).

“Menerusi simulasi sedemikian, penyelidik dapat memberi gambaran tentang kesihatan batu karang dalam pelbagai senario masa depan dan seterusnya membantu dalam pemeliharaan ekosistem karang.

“Seperkara lagi yang kami mahu adakan adalah merapatkan jurang alam dan manusia menerusi teknologi iaitu antaranya menggunakan teknologi visual reality (VR) bagi membolehkan karang dilihat lebih dekat di depan mata selain mencari penyelesaian terhadap ancaman semasa karang,” ujarnya.

Beliau menyeru pihak industri untuk turut sama dalam pembangunan teknologi VR.

Beliau menyimpulkan bahawa masih banyak perlu dilakukan dalam pemuliharaan karang seperti pendidikan dan penggunaan kaedah pemindaha ilmu selain teknologi yang bersesuaian.

Dalam masa sama , lebih banyak kepakaran diperlukan dalam bidang penyelidikan karang dan pada masa sama kesedaran orang ramai perlu dipertingkatkan supaya mereka memahami kepentingan karang dalam ekosistem marin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini