MENIKMATI juadah berbuka puasa sambil meninjau pemandangan ibu kota dari salah satu mercu tanda kebanggaan negara pasti memberikan suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Demikian peluang yang dibuka kepada orang ramai sempena ketibaan Ramadan kali ini apabila Menara Kuala Lumpur kembali dengan pakej menarik untuk sesi berbuka puasa.
Bufet Ramadan Menara Kuala Lumpur yang bertemakan Citarasa Tradisi Melayu Asli menyediakan lebih 200 jenis hidangan yang pasti memikat selera pengunjung.
Bufet yang diadakan di Dewan Bankuet Megaview bermula pada Ramadan ketiga iaitu pada 8 Mei hingga 2 Jun dari pukul 6.30 petang hingga 9.30 malam.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Datuk Rozlan Mohamed, sajian istimewa pada tahun ini ialah kambing panggang, ikan bakar, sate, rebusan kekerang dan serawa durian dengan pulut kukus sebagai pencuci mulut.
Menara Kuala Lumpur turut menyediakan tujuh jenis sambal belacan yang pasti dapat memenuhi citarasa setiap pengunjung.
“Sambil menikmati juadah berbuka puasa, pengunjung akan dihiburkan oleh kumpulan muzik dari Menara Kuala Lumpur iaitu The Sky Band dengan alunan lagu-lagu Melayu asli.
“Bufet Ramadan Menara Kuala Lumpur ditawarkan kepada pengunjung pada harga RM120 seorang untuk dewasa dan RM73 seorang untuk kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Previu Bufet Ramadan di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Segi Seri, Azhar Baharin yang merupakan rakan kerjasama Menara Kuala Lumpur dalam penyediaan hidangan untuk bufet Ramadan kali ini.
Bagi kanak-kanak berusia empat tahun dan ke bawah, masuk adalah percuma dengan jumlah maksimum seramai lima orang.
Setiap pembelian akan disertakan dengan tiket percuma ke Pelantar Pemandangan (Observation Deck) serta harga istimewa ke Sky Deck iaitu RM20 untuk dewasa (harga normal RM71) dan RM10 untuk kanak-kanak (harga normal RM37).
Bufet Ramadan Kuala Lumpur yang menjanjikan pengalaman mesra keluarga turut menyediakan kemudahan seperti ruang solat dan sebagainya.
Untuk maklumat lanjut mengenai tempahan, hubungi Menara Kuala Lumpur di talian 03-20205444 atau layari laman web www.menarakl.com.my.











