Bot kenka diusahakan pihak lain, gaji warga asing ditahan - Utusan Malaysia

Bot kenka diusahakan pihak lain, gaji warga asing ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 15 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri menahan sebuah bot nelayan kenka tempatan Kelas A pada jarak kira-kira satu batu nautika dari Barat Pulau Aman di sini semalam selepas dikesan belayar dalam keadaan mencurigakan.

Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, bot yang dikemudi tekong lelaki warga tempatan berumur 68 tahun dan dua kru lelaki warga Myanmar berumur 19 dan 42 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.10 petang.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati bot itu melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8(b) kerana melanggar syarat sah lesen iaitu bot tidak diusahakan sendiri oleh pemilik.

Selain itu, katanya, kru warga Myanmar berkenaan pula ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 Seksyen 6(1)(c) kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan dan pengenalan diri yang sah.

“Bot berkenaan berserta tekong dan dua kru diiringi ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, Maritim Malaysia negeri akan terus mempergiatkan pemantauan dan rondaan dalam membanteras sepenuhnya aktiviti yang menyalahi undang-undang jenayah di perairan Pulau Pinang.

Katanya, orang awam diminta bekerjasama melaporkan sebarang kejadian jenayah, kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×