KUALA LUMPUR 15 Mei – Perjudian Kuala Lumpur menurunkan Sharbinee Allawee Ramli yang belum cergas sepenuhnya nyata tindakan tepat apabila penjaga gol itu cemerlang ketika membantu skuad The City Boys menewaskan PKNS FC 2-1 dalam aksi Liga Super, malam tadi.
Biarpun dikejutkan dengan gol awal PKNS menerusi Romel Morales pada minit kelima, namun Kuala Lumpur menunjukkan semangat juang tinggi untuk mengejar lawan.
Jaringan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-28, diikuti gol Azmi Muslim, di minit ke-57 memastikan Kuala Lumpur mengutip tiga mata berharga.
Kemenangan masih tidak mengeluarkan The City Boys dari tangga kedua tercorot, namun ia pasti menaikkan keyakinan mereka untuk terus mencari keputusan terbaik.
Bagi pengendali Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt apabila yang menggembirakannya adalah melihat semangat melawan kuat yang ditunjukkan pemain, terutama Sharbinee.
“Kita ada masalah dengan penjaga gol kedua, jadi kami mengambil risiko menurunkan Sharbinee.
“Selepas perlawanan suku akhir Piala FA menentang Felda, kami tanya apakah dia OK jika diturunkan.
“Mengenali Sharbineen, semangatnya seperti singa. Dia kata, dia mahu tolong City Boys, jadi saya baiklah…kita turunkan dia,” kata Yee Fatt.
Sharbinee, 32, cemerlang mematahkan beberapa percubaan bahaya lawan untuk memastikan gawang pasukannya tidak bolos kali kedua di Stadium Kuala Lumpur, Cheras.
Sementara itu, bagi pengendali PKNS, Datuk K. Rajagobal, kekalahan ini amat memeritkan, apatah lagi pasukannya bermula baik dan memperoleh banyak peluang untuk mematikan perlawanan lebih awal.
“Selepas kami mendapat jaringan awal, saya percaya kalau momentum itu dikekalkan dan kami dapat tambah satu lagi gol, ia boleh membunuh semangat lawan.
“Malangnya apa yang berlaku, kami mula hilang tenaga dan bergelut dengan permainan. Kami sepatutnya sudah boleh mematikan perlawanan pada babak pertama.
“Penyerang kami, terutama Kpah (Sherman) ada banyak peluang menjaringkan gol.
“Kita cuba bangkit selepas lawan berjaya mendapatkan gol kedua, pemain memberikan tekanan tetapi jaringan yang dicari tidak hadir,” kata Rajagobal.
Ini kekalahan kelima PKNS FC, sekali gus meletakkan mereka di tangga keenam liga dengan 16 mata manakala Kuala Lumpur di kedudukan kedua tercorot menerusi 11 mata.
PKNS akan berdepan cabaran getir pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim dalam aksi berikutnya di Stadium Ahah Alam, Jumaat ini.
Kuala Lumpur pula akan bertemu pasukan jiran yang kini berada pada prestasi terbaik, Petaling Jaya FC. – UTUSAN ONLINE











