JDT terlalu 'bermaharajalela' - Utusan Malaysia

JDT terlalu ‘bermaharajalela’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 Mei – Pengendali Pahang, Dollah Salleh kecewa pemainnya membenarkan Johor Darul Ta’zim (JDT) ‘bermaharajalela’ hingga dihukum 0-2 dalam aksi Liga Super di Larkin, malam tadi.

Kekalahan itu menyempitkan peluang Tok Gajah untuk menyekat Harimau Selatan daripada mempertahankan kejuaraan buat kali keenam berturut-turut selepas ditinggalkan jauh dengan lapan mata di belakang.

Jaringan Hariss Harun pada minit ke-70 dan Akhyar Rashid di waktu kecederaan memastikan JDT mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 13 perlawanan liga musim ini, sekali gus kekal mendahului saingan dengan 33 mata.

Memuatkan artikel berkaitan…

“JDT menguasai perlawanan kerana kita memberi ruang terlalu banyak kepada hampir semua pemain mereka.

“Pemain JDT berleluasa mengawal bola, memusing badan atau melakukan hantaran.

“Pada separuh masa kedua saya mengarahkan pemain agar beraksi dengan lebih kompak supaya kita dapat menekan lawan dan menyekat mereka daripada terus menguasai permainan.

“Malangnya, akibat satu kesilapan kecil, kita menerima padah,” kata Dollah.

Ini adalah kekalahan kedua berturut-turut buat Tok Gajah dalam saingan Liga Super selepas dikejutkan 0-2 oleh pendatang baharu, Petaling Jaya FC pada 4 Mei lalu.

Sementara itu, pengurus JDT, Luciano Figueroa lega pasukannya berjaya mengutip tiga mata penting selepas mengharungi aksi sukar.

“Ini perlawanan yang amat sukar kerana Pahang juga bermain baik hari ini tetapi yang penting kita meraih tiga mata penting,” katanya.

Pahang akan menentang Perak dalam aksi berikutnya di Kuantan, Ahad ini manakala JDT bertemu PKNS FC di Shah Alam, Jumaat ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini