KUALA LUMPUR 14 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengeluarkan amaran terhadap 447 premis bazar Ramadan di seluruh negara kerana melakukan kesalahan tidak meletakkan tanda harga.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah itu berdasarkan rekod keseluruhan pemeriksaan sebanyak 34,983 premis bazar tersebut di seluruh negara.
Beliau berkata, pihaknya mengambil pendekatan menasihati peniaga yang melakukan kesalahan tersebut supaya tidak mengambil kesempatan dan melaksanakan perniagaan secara beretika.
“Kementerian mengambil berat mengenai isu kepenggunaan bagi memastikan hak pengguna dilindungi serta tidak teraniaya dengan sebarang manipulasi oleh mana-mana peniaga yang tidak beretika.
“Sepanjang bulan Ramadan, pegawai penguat kuasa akan melakukan pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan terhadap peniaga di bazar tersebut selain pemantauan berkala di premis perniagaan lain seperti pasar raya, pasar awam dan restoran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meluangkan masa melawat Bazar Ramadan Kampung Baru tanpa tunai iaitu Kampong Kashless di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn. Bhd, Syahrunizam Samsudin.
Kampong Kashless membolehkan pengunjung bazar Ramadan di Kampung Baru membeli-belah pelbagai juadah dan jualan dengn melakukan pembayaran tanpa tunai menggunakan eWallet Touch n Go.
Pengalaman membeli-belah tanpa tunai di Kampong Kashless menjadi lebih menarik kerana pengunjung boleh menerima ganjaran dan tunai kembali dengan mengggunakan perkhidmatan tersebut. – UTUSAN ONLINE











