KUALA LUMPUR 14 Mei – Golongan pemandu e-hailing menggesa kerajaan memanjangkan tempoh untuk mendapatkan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) yang secukupnya.
Presiden Pertubuhan Pemandu Grab Malaysia, Arif Asyraf Ali berkata, ini kerana tempoh ditetapkan adalah sangat singkat dari April hingga Julai memandangkan proses permohonan tersebut adalah rumit.
“Terdapat empat perkara yang membimbangkan para pemandu e-hailing mendapatkan lesen PSV antaranya institusi latihan yang tiada kapasiti dan tidak bersedia; kegagalan peperiksaan yang tinggi; pemandu orang kurang upaya (OKU) yang tidak dapat memandu dan kos regulasi tinggi untuk pemandu.
“Sepatutnya kerajaan menetapkan masa selama setahun tetapi tempoh terbaharu tiga bulan setengah sahaja memandangkan modul pembelajaran PSV yang dikeluarkan pada April lalu dan perlu diselesaikan pada Julai ini,” katanya dalam sidang media di Bandar Utama dekat sini hari ini.
Tambahnya, tempoh diberikan kerajaan itu tidak relevan memandangkan penguatkuasaan lesen PSV akan dilaksanakan pada 12 Julai nanti.
Tambah Arif, setakat ini hanya kira-kira 10 peratus daripada lebih 200,000 pemandu e-hailing baharu mendaftar untuk mendapatkan kelulusan lesen PSV dan tidak termasuk jumlah yang lulus mendapatkan lesen itu.
“Disamping itu, kerajaan juga perlu memantau yuran yang dikenakan kepada institusi latihan kerana terdapat segelintir mereka menyimpan kos tersembunyi kepada pemandu yang sepatutnya perlu membayar RM200 sahaja untuk mendapatkan lesen PSV.
“Kami memohon kerajaan memanjangkan tempoh permohonan lesen PSV memandangkan kos yang perlu dikeluarkan oleh pemandu bagi persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











