KUALA LUMPUR 13 Mei – Seberapa daya yang boleh, Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi sokongan terhadap pembekal tempatan bagi merangsang ekonomi negara.
Kesungguhan ini terbukti dengan peningkatan berterusan bilangan vendor dan pembekal tempatan yang dilantik oleh TNB dari tahun ke tahun.
Menurut Laporan Tahunan 2018 syarikat utiliti itu, TNB mempunyai sebanyak 4,665 vendor dan pembekal tempatan pada akhir tahun lalu, meningkat 3.3 peratus daripada 4,514 pada 2017.
Jumlah keseluruhan pemerolehan ialah RM7.2 bilion juga meningkat daripada RM7.18 bilion yang dicatat pada 2017.
Bilangan pembekal tempatan yang disokong oleh TNB ialah 4,514 pada 2018 berbanding 3,281 (2017) dengan nilai pemerolehan RM6.80 bilion berbanding RM6.64 bilion (2017). Daripada aspek peratusan, pembekal tempatan ialah 97 peratus berbanding 73 peratus (2017).
Statistik di atas adalah selari dengan matlamat TNB yang amat maklum terhadap keperluan menguruskan kelestarian rantaian bekalannya, berdasarkan bilangan dan nilai besar pembelian tahunan syarikat utiliti itu.
Syarikat itu melayan kesemua pembekalnya secara adil dan penuh integriti, dengan matlamat mewujudkan hubungan kerja berasaskan saling hormat-menghormati. Untuk itu, TNB berpandu kepada Polisi dan Prosedur Pemerolehan dan Rantaian Bekalan, yang merangkumi Kod Tatalaku Pemerolehan. Pemerolehan di TNB ditadbir urus Jawatankuasa Lembaga Tender (BTC) dan jawatankuasa tender pengurusan.
Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan teknologi bagi melaksanakan amalan-amalan terbaik pemerolehan seperti pelaksanaan Kelulusan-e P&SC (PSAS), Pemprosesan Elektronik, LAPASAR (saluran pembelian dalaman secara dalam talian) dan Proses Automasi Robotik (RPA).
Menurut laporan baru-baru ini, terdapat 22 syarikat-syarikat besar negara berperanan sebagai syarikat penaung yang menyediakan Program Pembangunan Vendor (PPV) untuk membimbing usahawan bertapak di dalam sesuatu industri.
Dalam konteks ini, tidak ramai yang tahu bahawa syarikat utiliti elektrik negara ini telah membelanjakan sejumlah RM15.4 bilion bagi pembangunan vendor sejak 1994.
Perbelanjaan yang amat besar ke atas elemen terpenting dalam ekonomi domestik itu, terzahir dalam bentuk kontrak kepada vendor, khususnya perusahaan kecil dan sederhana.
TNB sangat aktif dalam menyokong pembangunan vendor tempatan. Sebahagian daripada mereka telah berkembang dan sudah mampu untuk memasarkan produk mereka ke luar negara.
Program pembangunan usahawan tempatan ini dikendalikan oleh Jabatan Perolehan TNB di mana bermula 1994 program Pembangunan Usahawan (PPU) TNB diwujudkan untuk membolehkan usahawan TNB menghasilkan produk tempatan bagi menggantikan produk import.
Pelantikan sebagai usahawan TNB ini dibuat kepada usahawan tempatan kerana ingin melihat mereka juga mampu berkecimpung dalam bidang pembuatan.
TNB turut menjalankan Program Pembangunan Vendor Bumiputera (PPVB) TNB yang di dalamnya terkandung beberapa program untuk menambah baik program vendor yang dijalankan.
Program PPVB TNB terdiri daripada Program Pembangunan Usahawan, Program Vendor/ Pembekal Pilihan, Program Syarikat Panel dan Program Rakan Niaga Strategik.
TNB mengenal pasti produk tertentu yang boleh diusahakan oleh pihak usahawan bumiputera (pengilang) apabila mereka bersetuju untuk membekalkan atau mengilang produk tertentu.











