KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan menempelak ahli-ahli gabungan KAFA yang beria-ia mendesak beliau supaya berundur berbanding usaha untuk mencari calon presiden terbaik bagi mengemudi badan induk bola sepak negeri berkenaan.
“Tidak perlu bersusah payah gulingkan saya, sebaliknya bawa calon presiden,” tegas Bibi Ramjani kepada ahli-ahli gabungan KAFA semalam.
Bibi Ramjani berkata, beliau sendiri akan melepaskan jawatan presiden sekiranya Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) mengemukakan calon berwibawa bagi menerajui badan induk tersebut.
“Saya bukan orang politik, jadi PBJ selaku ahli gabungan tidak perlu beria-ia mahu gulingkan (usul undi tidak percaya).
“Lagipun mandat yang mereka (PBJ) berikan sebelum ini sah sehingga 2021,” katanya.
Terdahulu, Bibi Ramjani diminta mengulas tindakan PBJ yang mahu mengemukakan usul undi tidak percaya bagi mendesaknya berundur daripada kepimpinan KAFA.
Kelmarin Kosmo! melaporkan, hayat Bibi Ramjani sebagai Presiden KAFA dilihat semakin kritikal apabila tujuh PBJ didakwa bakal mengemukakan usul undi tidak percaya bagi mendesaknya berundur.
Surat desakan itu dijangka dihantar sejurus umat Islam selesai menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 6 Jun depan.
Bibi Ramjani memberitahu, dia sudah lama bersedia untuk berundur daripada jawatan tersebut bagi memberikan peluang kepada individu yang betul-betul layak memimpin KAFA.
Setakat ini, hanya terdapat seorang calon iaitu usahawan berusia 31 tahun, Datuk Seri Amril Aiman Abd. Aziz yang dilihat begitu bersemangat untuk mengambil alih kepimpinan KAFA.











