ALOR SETAR 14 Mei – Jabatan Imigresen negeri mengagihkan sebanyak 600 pek bubur lambuk dan buah kurma kepada kakitangan agensi yang bertugas di bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Anak Bukit di sini, hari ini.
Selain itu, turut diagihkan kepada pengguna jalan raya di hadapan bangunan tersebut serta anak-anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal dan asnaf di Pusat Jagaan Insan Kesayanganku Taman Mahsuri, Jitra dekat sini.
Pegawai-pegawai kanan agensi tersebut yang diketuai oleh Pengarahnya, Zuhair Jamaludin turut turun padang bagi mengetuai program pengagihan berkenaan yang dikendalikan oleh Bahagian Penguat Kuasa.
Menurut Zuhair, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dilaksanakan bertujuan bagi mendekati masyarakat dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama kakitangan agensi di bawah KDN. – UTUSAN ONLINE











