Serena kembali dengan bergaya - Utusan Malaysia

Serena kembali dengan bergaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROME 13 Mei – Serena Williams bermula baik dalam penampilan pertama selepas pulih daripada kecederaan apabila menewaskan pemain Sweden, Rebecca Petersen 6-4, 6-2 untuk melangkah ke pusingan kedua kejohanan gelanggang tanah liat Terbuka Itali, hari ini.

Bintang tenis Amerika Syarikat berusia 37 tahun itu tidak menyertai sebarang pertandingan sejak kali terakhir beraksi dalam kejohanan gelanggang keras, Terbuka Miami, Mac lalu yang menyaksikan dia terpaksa menarik diri pada pusingan kedua akibat kecederaan lutut.

Williams yang kini menghuni ranking ke-11 dunia turut menarik diri daripada kejohanan Indian Wells, Mac lalu kerana masalah kesihatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beraksi di depan suaminya, Alexis Ohanian, pemilik 23 gelaran Grand Slam itu mengetepikan Petersen, pemain ranking ke-64 dunia dalam masa 76 minit.

“Saya rasa bagus ketika ini, tetapi pada mulanya saya sendiri tidak pasti apa yang akan berlaku.

“Sudah agak lama saya tidak bermain, tetapi saya tiada pilihan dan perlu memaksa diri untuk menghadapi Terbuka Perancis (dua minggu dari sekarang).

“Saya amat terdesak untuk kembali ke jelajah dan cuba bermain. Gembira kerana akhirnya dapat berada di atas gelanggang dan bermula dengan baik,” kata Williams, yang melakukan 10 ace.

Menanti Williams pada pusingan kedua esok sama ada kakaknya, Venus atau atau pemain Belgium, Elise Mertens. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini