LONDON 13 Mei- Bekas pemain Manchester United, Gary Neville diejek oleh penyokong Manchester City ketika dia dalam perjalanan menuju ke Stadium Amex, Brighton, Sussex, semalam.
Bukan sekadar menerima ejekan, malah bekas pengendali Valencia itu turut dibaling dengan tin minuman.
Neville, 44, berada di padang Brighton untuk membuat liputan perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menyaksikan City muncul juara EPL selepas membelasah Brighton 4-1.
Bekas pertahanan England itu yang bertugas sebagai pengulas sukan, tiba awal dan terpaksa melalui sekumpulan penyokong City yang berada di luar stadium.
Sebaik ternampak dan mengenali bekas kapten musuh ketat jiran setempat mereka, penyokong City mengerumuninya sebelum tiba-tiba dua tin minuman keras terbang melayang.
Satu berjaya dielaknya namun satu lagi balingan terkena bahu Neville namun dia tetap bersikap profesional dengan menunjukkan simbol tanda bagus kepada penyokong City.
Selepas balingan kedua itu, beberapa penyokong City yang lain masuk campur menghalang perbuatan tidak bermoral itu terus dilakukan terhadap Neville. – AGENSI











