OTTAWA – Amalan memakan plasenta atau uri tidak membawa sebarang manfaat malah boleh menyebabkan penyebaran bakteria pembunuh kepada bayi menerusi penyusuan, demikian menurut Jurnal Obstetrik dan Ginekologi Kanada.
Trend tersebut dilihat menjadi gaya hidup yang diamalkan oleh sebilangan golongan selebriti termasuk Kim Kardashian dan Hillary Duff, demikian menurut laporan akhbar Daily Mail.
Golongan itu percaya bahawa perbuatan memakan uri memberi khasiat tambahan zat besi dalam badan serta membantu menghasilkan susu badan. Ia turut dipercayai boleh mencegah kemurungan selepas bersalin.
Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Kanada menafikan dakwaan itu dengan menyatakan tiada bukti yang diketengahkan bagi menyokong perbuatan memakan uri.
“Biarpun trend itu dilihat semakin berkembang, tiada bukti yang dicatatkan bahawa uri menambah zat besi, meningkatkan mood dan menambah susu,” katanya. – Agensi











