LONDON 13 Mei – Ole Gunnar Solskjaer menzahirkan kegembiraannya apabila musim buruk yang dilalui Manchester United sudah tamat.
United mempamer kebangkitan luar biasa selepas Solskjaer dilantik selaku pengurus sementara Disember lalu dan dilihat mampu mencabar slot untuk ke Liga Juara-Juara.
Bagaimanapun, segalanya berubah selepas Solskjaer dilantik sebagai pengurus tetap di Old Trafford dengan menamatkan saingan di kedudukan keenam selepas menampilkan aksi longlai pada penghujung musim.
Solskjaer yang menggantikan Jose Mourinho buat sementara akhirnya dilantik selaku pengurus tetap pada Mac lalu selepas permulaan hebat dan tanpa berselindung, dia gembira menyambut akhir musim.
“Persembahan kami sangat teruk dan pada musim ini pelbagai masalah kami hadapi.
“Sangat mengecewakan tetapi musim ini sudah tamat dan kami sudah boleh melupakannya dan fokus kepada musim hadapan,” katanya.- AGENSI











