[VIDEO] Tiga dicekup sedang lekat syabu di badan - Utusan Malaysia

[VIDEO] Tiga dicekup sedang lekat syabu di badan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Mei – Polis menahan tiga individu sedang asyik melekatkan 5.1 kilogram dadah methamphetamine di badan mereka dalam serbuan di sebuah bilik hotel di Lembah Klang, semalam.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah malam itu, tiga individu yang terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki berusia antara 21 hingga 31 tahun itu sedang bersiap untuk menyeludup dadah tersebut ke Korea Selatan.

“Kita percaya hanya dua wanita terbabit yang akan berlepas ke negara tersebut manakala suspek lelaki bertugas menyiapkan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka ini diberikan bayaran lumayan berupa wang pendahuluan sebanyak RM1,000, tiket penerbangan serta penginapan dan juga RM15,000 selepas tugas selesai, untuk setiap seorang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Ampang jaya, di sini hari ini.

 

Video oleh Naimah Mohamad

Menurut Kamarulzaman, keseluruhan nilai dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM255,000 dan sekiranya ia sampai ke Korea Selatan nilainya akan meningkat sehingga RM8.5 juta.

“Ujian saringan air kencing kesemua suspek adalah negatif dan seorang daripada mereka didapati pernah membuat penghantaran seumpama ini lebih daripada sekali.

“Dalam serbuan itu juga, kita turut merampas sebuah kereta Perodua Myvi serta sejumlah matawang Korea bernilai RM2,000,” ujarnya.

Tambah Kamarulzaman, ketiga-tiga suspek ditahan reman sehingga Sabtu untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini