LONDON 13 Mei – Alexis Sanchez memohon maaf kepada penyokong Manchester United kerana gagal menampilkan aksi cemerlang musim ini terutama selepas dia berdepan beberapa siri kecederaan.
United menamatkan kempen musim ini dalam keadaan menghampakan selepas tewas 0-2 kepada Cardiff di laman sendiri.
Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer menamatkan saingan di kedudukan keenam selepas hanya meraih dua kemenangan daripada lapan perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris.
Sanchez menjadi punca kekecewaan penyokong United sejak dia mula berhijrah dari Arsenal pada Januari 2018.
Bintang Chile itu hanya menjaringkan satu gol musim ini dan dia menggunakan laman Instagram untuk memohon maaf kepada penyokong.
“Musim ini cukup sukar dan saya ingin memohon maaf kepada penyokong kerana mereka sentiasa bersama pasukan tidak mengira apa juga situasinya.
“Secara peribadi, saya tidak beraksi seperti yang saya harapkan kerana beberapa kecederaan yang tidak dijangka.
“Spekulasi orang ramai dan media adalah tidak benar sama sekali.
“Saya sentiasa bersikap profesional dalam semua aspek. Saya memohon maaf kepada penyokong kerana gagal mencapai sasaran. Apa jua keadaan, kita semua adalah Manchester United,” katanya.-AGENSI











