LONDON 13 Mei – Bintang Liverpool, Mohamed Salah sekali lagi menikmati kejayaan merangkul Kasut Emas Liga Perdana Inggeris selepas perlawanan terakhir, musim ini.
Salah berkongsi kejayaan itu bersama rakan sepasukannya, Sadio Mane dan penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang selepas kesemua mereka menjaringkan 22 gol.
Bintang Mesir itu bagaimanapun gagal menjaringkan sebarang gol ketika The Reds menang 2-0 ke atas Wolverhampton di Anfield yang menyaksikan Manchester City berjaya mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris, musim ini.
Tetapi, Salah tetap menikmati kejayaan Kasut Emas itu dengan memuat naik gambar hadiah itu bersama anak perempuannya di laman Twitter dengan berkata: “Ya, saya tahu kami ada satu di rumah. Ini adalah yang baharu.”
Salah menikmati musim lalu dengan cemerlang apabila merangkul Kasut Emas selepas meledak 32 gol dalam 36 perlawanan tetapi hanya menjaringkan 22 gol ini namun ia sudah mencukupi untuk dia berkongsi kejayaan itu.-AGENSI











