TAIPING – Empat pengedar dadah termasuk dua beradik ditahan bersama dadah jenis heroin dan ganja dalam dua serbuan berasingan di Kamunting dan Batu Kurau dekat sini minggu lalu.
Kesemua mereka ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping hasil risikan dan maklumat daripada orang awam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab. Hamid berkata, dalam serbuan di sebuah rumah di Batu Kurau pada pukul 1 pagi kelmarin, dua suspek berusia 39 dan 46 tahun ditahan selepas polis menemui dadah jenis heroin seberat 2.9 kilogram.
“Semua dadah tersebut dibungkus di dalam lapan paket plastik lutsinar itu dijumpai di bahagian ruang tamu rumah berkenaan.
“Ketika serbuan dijalankan, suspek berusia 39 tahun itu sedang berada di ruang tamu manakala abangnya pula berada di dalam bilik,” katanya pada sidang akhbar di IPD Taiping di sini sebentar tadi.
Tambah Razlam, pemeriksaan lanjut polis menemui satu plastik hitam yang berisi tujuh paket plastik lutsinar dadah jenis heroin dan satu beg celoreng yang mengandungi satu paket dadah.
“Jumlah keseluruhan rampasan sebanyak 2,945.6 gram yang dianggarkan bernilai RM45,000,” katanya.
Menurut Razlam, terdahulu, dalam satu serbuan lain di Kamunting, polis menahan dua lelaki berusia antara 40 hingga 50 tahun bersama ganja seberat 352 gram.
“Dua ketulan mampta disyaki dadah jenis ganja ditemui di dalam dua bekas plastik berwarna putih di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan dianggarkan bernilai RM1,400.
“Ujian air kencing terhadap keempat-empat suspek mendapati mereka positif dadah dan semakan mendapati kesemua mereka turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE











